Teluk Intan, Slim River dan Kampar dilanda banjir

Teluk Intan, Slim River dan Kampar dilanda banjir

Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan Kampung AC Air Hitam di sini dilanda banjir ekoran limpahan air Sungai Bidor hari ini.

Banjir yang menjejaskan 20 orang daripada lapan keluarga menyebabkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap.

Bagaimanapun, difahamkan hanya sebahagian sahaja mangsa yang berpindah ke PPS, manakala sebahagian lagi ke rumah saudara terdekat.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.44 petang.

Menurutnya, mangsa banjir terdiri daripada 11 lelaki dan sembilan wanita.

“Paras air naik hampir satu meter di kawasan rumah penduduk susulan limpahan air sungai,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut jurucakap itu lagi, beberapa mangsa dari Mukim Changkat Jong turut dipindahkan ke PPS yang sama tetapi jumlah sebenar belum diketahui.

Banjir turut melanda beberapa kawasan di Slim River seperti di Ulu Slim, Kampung Naran, Jalan Lombong RPT Kampung Balun dan Ladang Cluny.

Kesemua mangsa dipindahkan ke PPS di Surau An Nur Hidayah Kampung Sungai Muda, Ulu Slim.

Menurut jurucakap itu, di Kampar, mangsa banjir dati Kampung Batu 30 dan kawasan Jeram ditempatkan di PPS di Kampung Batu 20 tetapi belum ada maklumat terkini mengenai jumlahnya.

Sumber: https://www.suaraperak.com/teluk-intan-slim-river-kampar-dilanda-banjir/