‘Teguran’ Majlis Raja-Raja zahir kegagalan kerajaan PN

Apa makna “teguran” Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam?
Apakah teguran Istana Negara membuktikan kegagalan kerajaan PN menguruskan negara ketika berdepan situasi sukar akibat pandemik Covid-19?
Titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu semalam cukup berbeza jika dibandingkan dengan kenyataan Istana Negara sebelum ini.
Berdasarkan titah Tuanku semalam, baginda menzahirkan rasa kegelisahan rakyat terhadap situasai negara khususnya politik negara yang terumbang ambing dan sebuah kerajaan rapuh.
Berbanding titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, ketika Belanjawan 2020 yang dibentang kerajaan PN tahun lalu, Tuanku secara terbuka meminta pemimpin politik supaya menyokong Belanjawan demi kelangsungan negara ketika situasai sukar wabak Covid-19.
Namun, kenyataan media Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja semalam jauh berbeza seperti sebelumnya.
Klausa “perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara” membawa pelbagai konotiasi ataupun tafsiran.
Ia juga secara tidak langsung memberi gambaran bahawa Raja-Raja Melayu tidak berpuas hati dengan pentadbiran yang ada ketika ini. Ia juga memberi isyarat kerajaan PN pimpinan Muhyiddin telah gagal dalam menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Yang di-Pertuan Agong juga secara terbuka mahukan persidangan Parlimen diadakan segera bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli Parlimen sebagai menjunjung proses demokrasi.
Sebelum ini kerajaan telah memberikan pelbagai alasan bagi mengelak sidang Parlimen diadakan termasuk dengan mengemukakan “data sains” selepas didesak oleh wakil rakyat supaya Dewan Rakyat dibuka.
Penegasan Agong yang mahukan Parlimen bersidang segera adalah satu tamparan hebat kepada kerajaan PN, meskipun Muhyiddin memberi jaminan bahawa Parlimen akan bersidang pada September nanti.
Namun, keengganan kerajaan memanggil sidang Parlimen dalam situasai yang amat memerlukan memberi gambaran bahawa kerajaan yang ada tidak mempunyai majoriti menyakinkan untuk bersidang.
Tindakan kerajaan PN mengelak daripada mengadakan sidang Parlimen dan berselindung di sebalik proklamasi darurat memberi gambaran ketakutan kerajaan berdepan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan kesukaran kerajaan untuk bergerak mentadbir negara.
Pendirian Majlis Raja-Raja yang secara jelas menyebut tentang tiada keperluan untuk proklamasi darurat dilanjutkan selepas ia berakhir 1 Ogos nanti adalah satu tamparan buat kerajaan PN.
Ia membuktikan kelemahan kerajaan dalam memberikan vaksinisasi secara menyeluruh dengan cepat kepada rakyat bagi mencapai imunisasi kelompok.
Proklamasi darurat yang berlanjutan dan perintah kawalan pergerakan (PKP) berterusan akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi rakyat.
Majlis Raja-Raja dalam kenyataannya semalam selain menyentuh tentang tiada keperluan untuk meneruskan proklamasi darurat, Raja-Raja Melayu juga banyak menyentuh soal tadbir urus negara mengenai Covid-19 serta suhu politik negara dan kedudukan kewangan negera ketika ini.
Oleh itu amat wajar sekali untuk kerajaan menginsafi titah Istana Negara dan bertindak segera mengambil langkah sewajarnya tentang apa yang dibangkitkan Raja-Raja Melayu.
Sumber: Malaysiapost