Teguran Ketua Audit Negara

Teguran Ketua Audit Negara

 

SETIAP tahun kita dengar hal yang sama. Ada ketidakpatuhan dalam soal pengurusan kewangan negara. Berlaku pembaziran dan ketirisan. Prosedur kewangan tak dipatuhi.

Kali ini Ketua Audit Negara buat pengumuman bahawa akibat ketidakpatuhan kementerian dan jabatan Persekutuan menyebabkan berlaku pembayaran tidak teratur. Kesannya, kerajaan rugi RM620 juta ringgit tahun lalu.

Menurut Sinar Harian, kali ini Ketua Audit berikan 29 syor untuk menambah baik keadaan. Seingat Awang setiap tahun Jabatan Audit Negara akan buat teguran dan cadangkan pelbagai syor, tapi tiap tahun juga kesilapan sama atau yang hampir sama berulang juga. Bak kata orang utara, ‘pi mai pi mai, tang tu juga’.

Awang rasa cara sesetengah kementerian dan jabatan macam kata orang putih business as usual. Kesalahan akan berulang. Puncanya tidak ada tindakan diambil kepada sesiapa.

Setahu Awang belum ada pegawai atau kakitangan kerajaan yang diambil tindakan akibat kesilapan yang ditunjukkan Ketua Audit Negara selama ini. Oleh sebab itu, tiada siapa takut atau peduli agaknya.

Sudah sampai masanya kerajaan bertegas dalam soal ini. Perkhidmatan awam patut lebih bertanggungjawab. Ini soal amanah. Jikalau berlaku kesalahan berulang dan membabitkan ratusan juta ringgit, yang rugi adalah negara dan rakyat.

Semalam, Menteri Kewangan umumkan Bajet 2022. Menteri berjanji akan buat pemantauan cara bagaimana wang pembangunan dan pengurusan dibelanjakan. Hancurlah semangat bajet untuk bantu rakyat jikalau kesilapan sama berulang lagi tahun depan.