Teguran buat ustaz, henti jadikan lawak lucah & ‘double meaning’ suatu kebiasaan

Teguran buat ustaz, henti jadikan lawak lucah & ‘double meaning’ suatu kebiasaan

 

Golongan agamawan dan asatizah selalunya dihormati, dijadikan sebagai sumber rujukan dan juga contoh teladan untuk orang ramai kerana ilmu pengetahuan mereka yang tinggi dalam bidang agama.

Agak menyedihkan apabila akhlak golongan ini kerap dipersoalkan akhir-akhir ini kerana dikaitkan dengan pelbagai gejala sosial dan juga insiden yang mencemarkan kesucian agama Islam.

Dikongsikan di laman Facebook Furqan Abdullah, seorang ustaz didapati tidak wajar dijadikan teladan langsung apabila dilihat tidak pandai menjaga pertuturannya yang gemar membuat lawak lucah serta ‘double meaning’ yang semakin dinormalisasikan dalam kehidupan masyarakat pada hari ini.

Astaghfirullah. Semoga dapat dijadikan iktibar.

1 Ustaz Lawak Lucah

Usah normalisasi lawak lucah dan double-meaning

Saya ada terlihat video ini berlegar, “ustaz” berkenaan cakap, “kalau bawa motor besar kena bawa laju, kalau bawa slow nanti dia akan jadi panas menyebabkan telur masak.” لا حول ولا قوة إلا بالله

Kemudian, disambut dengan hilai tawa hadirin. Seorang wanita yang berada di atas pentas turut dilihat tersipu-sipu tertawa.

Beberapa orang lelaki lain termasuklah seorang lagi ustaz selebriti yang berada di atas pentas turut syok gelak mendengar “lawak” beliau.

Bagi saya, inilah kebejatan akhlak dan korupsi yang parah dilakukan segelintir mereka yang berperwatakan lebai. Bercakap ikut sedap mulut, yang penting orang gelak berdekah-dekah.

Jika kita teliti menerusi rakaman tersebut, “ustaz” tersebut bukan sahaja membuat lawak lucah, bahkan “fakta” yang diceritakannya pula entah betul entah tidak, atau beliau sengaja mereka-rekanya.

Nabi SAW dalam sebuah hadis melarang dan mendoakan kecelakaan bagi mereka yang bercakap bohong semata-mata nak buat orang gelak:

إن الذي يحدث فيكذب ليضحك القوم ويل له ويل له ثم ويل له

“Barangsiapa yang berkata-kata lalu (terbukti) dia menipu semata-mata untuk membuatkan orang gelak, nescaya kecelakaan ke atasnya (diulang 3 kali).”

Jauhilah orang sebegini, atau lebih baik boikot sahaja ceramah berunsur begini. Hal ini merupakan saranan para ulama sepertimana yang ditegaskan oleh Imam al-San’ani:

الحديث دليل على تحريم الكذب لإضحاك القوم، وهذا تحريم خاص. ويحرم على السامعين سماعه إذا علموه كذبا؛ لأنه إقرار على المنكر بل يجب عليهم النكير أو القيام من الموقف، وقد عد الكذب من الكبائر.

“Hadis ini menunjukkan pengharaman perbuatan menipu untuk membuatkan orang gelak, ia merupakan pengharaman yang khusus. Begitu juga diharamkan untuk mendengar daripada mereka jika diketahui akan temberangnya kerana (jika kita mendengar juga), bermaksud kita memperakui kemungkarannya (penipuannya). Malahan, wajib hukumnya membantah sikap begini dan beredar meninggalkan (majlis mereka). Sementelahan pula, penipuan merupakan salah satu daripada dosa besar.”

Moga kita semua terhindar daripada sikap buruk dan tidak mengangkat orang sebegini menjadi teladan masyarakat.

Furqan Abdullah