Tayar jentolak meletup ketika isi angin, pekerja pusat servis maut, rakan parah

Tayar jentolak meletup ketika isi angin, pekerja pusat servis maut, rakan parah

 

Tayar sebuah jentolak yang sedang diisi angin di sebuah pusat servis tayar di Bandar Baru Sungai Buloh dekat sini, meletup menyebabkan seorang pekerja maut, manakala rakannya parah, Selasa lalu.

Terdahulu, satu audio dan gambar menunjukkan dua lelaki terbaring dalam keadaan berlumuran darah dengan salah seorang cedera parah pada kepala, tular di media sosial dan dikaitkan dengan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata gambar yang tular itu adalah kejadian benar yang berlaku di sebuah pusat servis tayar di Bandar Baru Sungai Buloh pada Selasa lalu.

“Kita mengesahkan kejadian terbabit pada 30 April lalu (Selasa) kira-kira jam jam 12.40 tengah hari di sebuah pusat servis tayar, Bandar Baru Sungai Buloh.

“Hasil siasatan yang dijalankan, kejadian dipercayai berlaku ketika dua lelaki tempatan yang juga pekerja di pusat servis tersebut mengisi angin tayar sebuah jentolak dan tiba-tiba meletup dan terkena kepada kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Akibat kejadian itu, katanya seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi mangsa cedera parah dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh.

“Mangsa yang maut berusia 19 tahun, manakala mangsa yang parah berusia 21 tahun dan kedua-duanya adalah pekerja di pusat servis tayar berkenaan.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan satu kertas siasatan SDR dibuka berkait kes ini,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar berkaitan kejadian itu bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan tidak membuat apa-apa spekulasi tentang kejadian ini.