Tauke pasar mini terlibat ‘one by one gentleman’ menyesal bergaduh, kongsi pengalaman masuk lokap
Tauke kedai viral ‘one by one gentleman’ yang bernama Goh Yap Eng beri nasihat untuk tidak menjadikan mabuk sebagai alasan bergaduh dengan orang lain.
Menerusi satu temu bual bersama BFM Radio, Goh berkata kejadian ‘one by one gentleman’ merupakan insiden yang paling gila yang pernah dia lalui.
Bagaimanapun, Goh akui dia sebenarnya tidak mahu perkara itu terjadi disamping turut berkata berharap kejadian pada hari tersebut tidak terjadi.
Pada masa yang sama, Goh turut menerangkan kejadian tersebut langsung tiada kaitan dengan isu perkauman yang mungkin menjadi salah satu spekulasi netizen.
“Haritu kejadian ‘one by one gentleman’ berlaku, bukan kita yang minta. Sebenarnya ini tidak berkaitan dengan kaum atau mabuk,” katanya.
Tambah Goh, mabuk sehingga menyebabkan pergaduhan juga tidak wajar kerana mabuk bukan alasan untuk melakukan apa sahaja.
“Ada orang cakap ini mabuk, tapi sebenarnya bukan. Setiap orang mabuk, dia mesti ada tahap dia. Contoh saya mabuk, saya duduk diam-diam, saya akan pergi tidur, saya tengok tv atau layan muzik.
“Tapi kalau kata mabuk jadi alasan lepastu dia boleh mengamuk dan buat apa sahaja, jangan lebih tahap itu. Sebab kami peniaga, kami harap pelanggan dengan tauke kedai semua sentiasa harmoni,” ujarnya.
Dalam pada itu, Goh turut mendedahkan selepas kejadian tersebut berlaku, dia kembali ke rumah namun tidak dapat melelapkan mata.
Keesokan harinya, pihak polis telah menahan Goh dan dimasukkan ke dalam lokap selama dua hari namun sepanjang tempoh itu, dia masih tidak dapat melelapkan mata.
“Masa video viral hari Rabu, malam itu saya tak boleh tidur sampai Khamis. Lepastu hari Khamis, polis ambil saya masuk lokap dua hari. Sabtu petang saya keluar, saya tak boleh tidur,” luahnya.
Sementara itu, Goh turut berkongsi kucing yang juga menjadi tular selepas insiden tersebut bernama Meowbo dan telah bersamanya sejak lapan tahun lepas.
“Saya kenalkan kucing saksi, kucing viral. Nama kucing ini Meowbo, saya bela dari lapan tahun lepas. Dulu kucing luar, bukan kucing kedai,” kongsinya.
Pada akhir temu bual itu, Goh menitipkan nasihat kepada semua orang terutama individu yang mempraktikkan seni mempertahankan diri untuk tidak menggunakan kemahiran itu untuk bergaduh.
Disamping itu, Goh turut berharap agar pergaduhan tersebut tidak dijadikan isu perkauman kerana Malaysia merupakan negara yang harmoni.
“Kalau boleh saya pilih, haritu saya tak mahu insiden itu berlaku. Saya nak nasihat semua orang kalau belajar Taekwondo atau Kung Fu, lepastu ajak gaduh, ini bukan perangai orang yang belajar seni mempertahankan diri.
“Saya harap isu ini tidak terjadi isu perkauman, Malaysia sepatutnya harmoni. Harap rakyat Malaysia dapat bersatu, jangan gaduh-gaduh sebab itu tidak semua berbaloi,” katanya.
Terdahulu, tular video pergaduhan antara Goh dan seorang lelaki India di kedainya sehingga menjadi tumpuan orang ramai di Malaysia.
Bagaimanapun, selepas beberapa hari kejadian itu berlaku, Goh dan lelaki India tersebut dilaporkan telah berbaik di sebuah balai polis.
Selain itu, lelaki India tersebut juga telah memuat naik satu video permohonan maaf disamping menjelaskan sebab kejadian itu boleh berlaku.