“Tasyabbuh dilarang dalam Islam” – Ustazah Asma’ Harun tegur lelaki ‘cantik’

“Tasyabbuh dilarang dalam Islam” – Ustazah Asma’ Harun tegur lelaki ‘cantik’

 

Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun tampil memberi teguran kepada kaum adam agar tidak terlalu obses dengan solekan sehingga menyerupai seperti wanita.

Beliau dalam satu hantaran di Instagramnya berkata, Nabi SAW telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.

“Jika kita fahami daripada segi bahasa, tasyabbuh membawa maksud menyerupai sesuatu.

“Dalam perbahasan fiqh pula, ia merujuk kepada seorang lelaki menyerupai perempuan atau perempuan menyerupai lelaki dalam perkara-perkara seperti pakaian, perhiasan, percakapan dan suara, gaya berjalan serta fizikal tubuh,” katanya.

Tambah Asma, antara konten yang mendapat tontonan tinggi di media sosial adalah jurusolek lelaki yang membuat tutorial solekan untuk mukanya sendiri.

“Perkara ini seolah telah diterima oleh masyarakat sehingga begitu ramai yang menontonnya walhal perbuatan ini dilarang dalam Islam,” ujarnya.

Selain itu, beliau memaklumkan, terbaru tular sebuah video sepasang suami isteri yang menyambut ulang tahun perkahwinan mereka dengan lengkap berpakaian pengantin serta pelamin yang dihias indah.

“Bahkan yang lebih menyedihkan, apabila si suami dilihat mengenakan solekan wajah yang tebal dan turut menyatakan bahawa dirinya hanya penampilan sahaja seperti wanita tetapi nafsu dan nalurinya masih seorang lelaki.

“Sungguh saya terkesima melihat setiap babak video yang dipaparkan. Ia bukan hanya ditonton oleh dua atau tiga ratus orang, bahkan mencapai sehingga satu juta tontonan di media sosial,” katanya, memetik Kosmo.

Tangkap layar hantaran Ustazah Asma’ di Instagramnya yang menegur tindakan segelintir kaum lelaki yang gemar bersolek.