Rupanya ini sebab tasik indah di Siberia berwarna merah jambu
Tasik Burlinskoye, yang terletak di Siberia Barat, terkenal dengan fenomena airnya yang bertukar menjadi merah jambu setiap kali tiba musim panas.
Terletak di wilayah Altai, Rusia, tasik ini menyimpan deposit garam terbesar di Siberia, dengan tahap kemasinannya hampir menyamai Laut Mati.
Kandungan garam yang sangat tinggi di tasik ini menarik kehadiran spesies udang mikroskopik yang dikenali sebagai Artemia salina.
Pembiakan besar-besaran udang kecil ini merupakan sebab utama air tasik berubah menjadi merah jambu terang ketika musim panas.
Selain keindahan alam yang luar biasa, tasik ini turut menjadi tumpuan kerana kereta api kargo yang melintasinya setiap hari.
Kereta api ini kelihatan seolah-olah “terapung” di atas air tasik berwarna merah jambu.
Namun, hakikatnya kereta api ini bergerak di atas landasan logam yang dibina oleh pihak Soviet suatu ketika dahulu.
Fungsi utama kereta api ini bukan sekadar untuk memendekkan perjalanan atau menarik perhatian pelancong.
Ia sebenarnya memainkan peranan penting dalam proses pengumpulan garam yang berharga di tasik tersebut.
Garam dari tasik ini pernah digunakan oleh golongan diraja Rusia seperti Catherine the Great.
Kereta api tersebut dilengkapi dengan peralatan khas yang digunakan untuk menggali dasar tasik, mengumpul garam dan lumpur ke dalam gerabak.
Setiap tahun, kereta api ini mampu mengumpul sekitar 65,000 tan garam, jumlah yang cukup untuk memenuhi keperluan garam global selama 3 hingga 4 hari.
Proses pengumpulan garam di tasik ini sebenarnya telah bermula sejak pertengahan abad ke-18.
Pada era Soviet, proses ini dimodenkan dengan pembinaan landasan di tengah-tengah tasik, di mana kepekatan garam adalah paling tinggi.