“Tangguh dulu ke Thailand jika tiada urusan penting” – Ketua Polis Kelantan

“Tangguh dulu ke Thailand jika tiada urusan penting” – Ketua Polis Kelantan

 

“Tangguh dulu ke Thailand jika tiada urusan penting.” Itu pesanan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun kepada penduduk negeri ini yang mahu ke negara berkenaan susulan insiden letupan bom di Jalan Phu Pha Phakdi, Daerah Mueang, Wilayah Narathiwat, Thailand pada Isnin lalu.

Beliau berkata, jika tidak mempunyai pilihan mereka yang ingin ke negara berkenaan diingatkan agar sentiasa berhati-hati.

“Sebelum ini insiden itu (letupan bom) berlaku di sekitar kawasan kampung sahaja, namun ia sudah menular sehingga ke bandar serta kawasan tumpuan ramai.

“Jadi kita bimbang berada di tempat yang salah pada waktu yang salah,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.

Hadir sama ialah, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria.

Menurut beliau, sikap berhati-hati perlu ada dalam kalangan setiap warga tempatan yang berkunjung ke negara berkenaan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dua rakyat Malaysia antara lapan individu yang mengalami kecederaan dalam kejadian letupan bom di Jalan Phu Pha Phakdi, Daerah Mueang, Wilayah Narathiwat pada Isnin.

Perkara tersebut disahkan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi.

“Kedua-dua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan mereka berasal dari Kelantan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Dalam kejadian jam 9.35 malam itu, lebih lima motosikal dilaporkan terbakar dipercayai bom dipasang pada kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun, kesemua mangsa berusia antara 20 hingga 30-an hanya mengalami kecederaan ringan.