Tanah runtuh di Jalan Tapah-Cameron Highlands

Tanah runtuh di Jalan Tapah-Cameron Highlands

 

Kejadian tanah runtuh menyebabkan Jalan Tapah- Cameron Highlands dekat Batu 25 dan 26 di sini, terhalang petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada orang awam pada 4.25 petang.

Menurutnya, kejadian terbabit menyebabkan jalan di kedua-dua laluan tidak dapat dilalui kenderaan.

“Tiang elektrik di tempat kejadian juga tumbang dan tidak membabitkan mangsa.

“Pihak polis juga sudah menghantar pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) ke tempat kejadian namun sehingga kini belum menerima maklumat lanjut disebabkan masalah komunikasi,” katanya, memetik laporan Harian Metro.

Wan Azharuddin berkata, kejadian terbabit turut dilaporkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands.

Katanya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), Syarikat Belati Wangsa dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga dimaklumkan bagi menjalankan kerja pembersihan di lokasi terbabit.