Tanah Kampung Kuchai diidam pemaju hartanah

Tanah Kampung Kuchai diidam pemaju hartanah

Tanah di Kampung Kuchai sangat diidamkan oleh syarikat-syarikat pemaju hartanah termasuk dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang kerana kedudukannya yang strategik di tengah-tengah bandar raya ini serta nilai ekonominya yang tinggi.

Biarpun pasaran hartanah ketika ini suram tetapi kawasan seluas kira-kira 10 hektar ini boleh dijadikan sebagai ‘bank tanah’ untuk dimajukan pada masa yang sesuai.

Kampung Kuchai yang bersempadan dengan Sungai Kinta, Jalan Datoh, Jalan Onn Jaafar dan Jalan Masjid juga merupakan satu-satunya tanah warisan orang-orang Melayu yang masih wujud di tengah-tengah bandar raya Ipoh.

Juruperunding hartanah, Hazri Aziz berkata, nilai tanah di Kampung Kuchai dianggarkan mencecah RM1 bilion berdasarkan keluasan serta kedudukannya selain prestij Kampung Kuchai pada sejarah bandar ini.

Menurut beliau, sebab itu mana-mana pemaju yang dapat memiliki atau diberi kebenaran untuk memajukan tanah berkenaan pastinya akan membuat keuntungan berlipat kali ganda selain telah menguasai ‘jantung’ bandar Ipoh.

“Di sini terletak dua warisan ikonik orang-orang Melayu iaitu Masjid Panglima Kinta di Jalan Masjid yang merupakan masjid tertua di Ipoh yang dibina oleh Datuk Panglima Kinta Muhammad Yusuff pada tahun 1898.

“Datuk Panglima Kinta Muhammad Yusuff juga memiliki separuh tanah di sini sebelum dibangunkan dan dijual kepada imigran Cina yang kini dikenali sebagai pekan lama Ipoh.

“Berdekatannya pula ialah Masjid Paloh yang merupakan tempat pemakaman pembesar dan aristokrat Melayu Ipoh. Jadi, kedudukannya terletak pada zon yang sangat penting,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Difahamkan, lima tahun lalu beberapa syarikat pemaju telah mengemukakan cadangan untuk membangunkan tanah Kampung Kuchai menerusi Deraf Pelan Pembangunan Ipoh 2020.

Antara yang dirancang ialah pembinaan empat blok kondminium bersama pusat beli-belah, lot-lot komersial serta pusat dagangan dan pameran.

Turut dicadang ialah projek membangunkan semula pesisir Sungai Kinta dengan pembinaan hotel, jeti, galeri seni, galeri warisan pelancongan dan dataran awam.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkifle berkata, sebelum ini kawasan Kampung Kuchai pernah dicadangkan untuk dimajukan sebagai Perkampungan Warisan Melayu Ipoh yang berpontensi membangunkan pelancongan negeri.

Untuk itu katanya, beberapa rumah-rumah warisan akan dikenal pasti untuk dibaik pulih mengikut tatacara yang ditetapkan oleh pihak berkuasa khususnya Jabatan Warisan Negara, namun perkara itu belum dapat dilaksanakan atas pelbagai kekangan.  – UO