Tampil sedondon dalam sesi fotografi, pengurus akhirnya dedah status hubungan Mimi Lana dan Syafiq Kyle

Tampil sedondon dalam sesi fotografi, pengurus akhirnya dedah status hubungan Mimi Lana dan Syafiq Kyle

 

Sedia maklum, status hubungan pelakon Mimi Lana dan Syafiq Kyle sering menjadi tanda tanya selepas mereka membuat keputusan tidak berkahwin.

Tetapi baru-baru ini, mereka dilihat mesra makan bersama di sebuah restoran dan foto-foto mereka juga tular di media sosial.

Pengurus Mimi iaitu Iman Tang juga memberitahu tidak pernah timbul sebarang perselisihan di antara Mimi dan Syafiq malah masih boleh bekerjasama dengan baik.

“Walaupun mereka tak jadi kahwin tapi tidak bermakna mereka bermusuh.

“Memang tiada masalah malah sehingga hari ini mereka masih lagi berkawan. Macam hari ini (Selasa) mereka berdua baru saja selesai menjalani sesi fotografi promosi koleksi baju raya,” katanya.

Iman mengulas perkara tersebut selepas Syafiq dan Mimi sama-sama memuat naik gambar mereka berdua dalam satu seti fotografi.

Sesi berkenaan merupakan kerjasama mereka berdua menggayakan koleksi baju raja sebuah jenama tempatan.

Tambah Iman dia sebagai pengurus pasti gembira sekiranya Mimi atau Syafiq kembali bersama sebagai pasangan kekasih dan seterusnya mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun katanya, sebagai pengurus dia tidak berhak masuk campur urusan peribadi mereka berdua malah tidak pernah bertanya mengenainya.

“Mendirikan masjid adalah perkara yang baik dalam Islam. Mesti saya gembira sekiranya mereka kembali bersama.

“Saya banyak kali makan malam bersama mereka, tapi tak pernah bertanya mengenai hala tuju hubungan mereka dengan lebih mendalam. Kerana dua-dua sedang sibuk sekarang ini,” ujarnya.

Dalam masa sama Iman juga berharap Mimi dapat memaklumkan sebarang berita baik kepadanya lebih awal.

“Saya berharap sekiranya mereka kembali bersama, mereka akan memberitahu saya lebih awal sebab sebelum ini saya hanyalah jemputan. Saya tidak tahu apa-apa,” jelasnya.

Mimi dan Syafiq sepatutnya disatukan sebagai suami isteri pada 18 Ogos tahun lalu dalam sebuah majlis pernikahan yang dirancang berlangsung di Janda Baik, Pahang.

Bagaimanapun jemputan majlis itu mendapat kiriman emel memaklumkan majlis itu dibatalkan pada 11 Ogos.