Tampil manis berhijab, tular spekulasi Syasya Dolla sertai tabligh?
Dunia hiburan baru-baru ini dikejutkan dengan pengunduran ahli DOLLA iaitu Syasya ketika kumpulan M-pop berkenaan berada di puncak kejayaan.
Bayangkan, kumpulan yang ditubuhkan pada 2019 itu telah berjaya meraih populariti di luar negara termasuklah Indonesia, Singapura, Brunei, United Kingdom dan China.
Malah keempat-empat ahli kumpulan DOLLA juga sering dipilih oleh pelbagai jenama antarabangsa seperti Coach untuk menghiasi kempen promosi mereka di negara ini.
Oleh yang demikian, ramai pihak terutamanya peminat masih tertanya-tanya apakah punca Syasya memutuskan untuk menarik diri daripada kumpulan sensasi tersebut.
Tidak lama kemudian, tular pula satu rakaman dipercayai merakamkan penampilan ‘baharu’ Syasya ketika penyanyi berkenaan menyambut hari raya Aidilfitri pertama.
Bukan sahaja terlihat sangat sopan, bekas anggota kumpulan DOLLA yang terkenal dengan imej seksi itu tampil manis berbaju kurung dan memakai tudung dikepalanya.
Difahamkan, video tersebut dimuat naik sendiri oleh ibu Syasya di Instastory miliknya sebelum dikongsi semula pengguna TikTok menerusi akaun bernama @nur.syalina.
@nur.syalina akhirnya muncul jgk dia😄 semakin cantik Syasya😍😍😍 #syasyadolla #dollaofficial #dolla #raya2024
Bersama kapsyen ‘akhirnya muncul juga dia, semakin cantik Syasya’, video tersebut telah berjaya meraih mencecah setengah juta tontonan daripada pengguna TikTok.
Rata-rata pengguna dan juga peminat membanjiri ruangan komen di laman TikTok itu dengan pujian berhubung penampilan baharu Syasya selepas keluar dari DOLLA.
Malah ramai juga individu tampil memberikan sokongan jika penampilan penyanyi itu bukan sekadar menghormati perayaan Aidilfiti tetapi benar-benar sudah berhijrah.
“Masa dia keluar Dolla sudah terfikir entah-entah dia nak berubah ke arah kebaikan. Harapnya yang aku fikir jadi kenyataan,” kata peminat.
“Pada saya kalau dia keluar Dolla dengan niat berubah saya sokong. Nak berubah bukan senang,” tulis seorang netizen.
“Teringat komen seseorang yang mendakwa Syasya keluar Dolla sebab nak masuk tabligh,” ujar pemilik akaun TikTok lain.
Terdahulu, Universal Music Malaysia selaku syarikat rakaman tampil mengumumkan pengunduran pemilik nama sebenar Noor Syasya Afiqah Shahrizal daripada DOLLA.
Menurut syarikat tersebut, keputusan penarikan diri itu dibuat sendiri oleh penyanyi berkenaan di atas sebab-sebab peribadi namun tidak menyatakan puncanya.