Takut kena cekup, mat rempit cedera selepas cuba lari operasi

Takut kena cekup, mat rempit cedera selepas cuba lari operasi

 

Seorang lelaki cedera di dahi selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas ketika melarikan diri dalam Ops Samseng Jalanan di Station 18 di sini, awal pagi tadi.

Video kejadian itu tular dalam aplikasi TikTok di mana turut memaparkan sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal menolak kenderaan masing-masing dari lokasi operasi ke pejabat Penguat kuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Jalan Chamberlin Hulu di sini.

Difahamkan, lelaki terbabit masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, setakat ini, lelaki terbabit masih belum membuat laporan polis berkaitan kejadian sekitar pukul 1 pagi.

“Kita mengesan satu video tular seorang penunggang motosikal terjatuh setelah terbabas di kawasan berhampiran operasi. Kita percaya lelaki itu melarikan diri daripada pemeriksaan.

“Lelaki terbabit telah diberi rawatan oleh pihak ambulans dan dibawa ke hospital. Siasatan akan dijalankan ke atas kes berkenaan dengan memanggil pihak terlibat untuk diambil keterangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas mengenai operasi itu, Yahaya berkata, sebanyak 241 saman trafik atas pelbagai kesalahan dikeluarkan selepas memeriksa 76 motosikal dan 92 individu.