Takiyuddin nafi akibat isu pembatalan Ordinan Darurat, portfolionya ditukar

Takiyuddin nafi akibat isu pembatalan Ordinan Darurat, portfolionya ditukar

 

Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang diumumkan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli menyifatkan pertukaran portfolionya dalam barisan Kabinet adalah perkara biasa dalam pembentukan sesuatu kerajaan baharu.

Sambil menafikan pertukaran itu ada kaitan dengan isu pembatalan Ordinan Darurat yang pernah diumumkannya ketika menyandang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) sebelum ini, beliau menganggap perlantikannya sebagai menteri di bawah portfolio baharu ini juga bersesuaian dengannya.

“Mengenai pertukaran portfolio ini saya rasa tiada kaitan (isu pembatalan Ordinan Darurat) kerana ini adalah satu kerajaan baharu yang mana setiap portfolio itu sudah tentu diletakkan orang yang sesuai.

“Sebagai contoh saya dulu (menteri) undang-undang. (Sekarang) diletakkan juga seorang yang berlatarbelakangkan undang-undang yang mana beliau (Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar) seorang peguam, bekas Timbalan Speaker dan ada pengetahuan serta pengalaman undang-undang yang luas.

“Saya rasa perkara ini biasa, tiada sebab tertentu. Kalau saya dilantik semula di situ (portfolio terdahulu) pun saya boleh bekerja dan kalau tempat lain pun dapat teruskan kerja lain,” katanya ketika sidang media di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, walau bidang tugasnya nanti lebih cenderung ke arah teknikal, tapi masih merangkumi banyak aspek perundangan.

Ketika ditanya adakah pelantikan dalam portfolio baharu itu dilihat seakan ada penurunan berbanding jawatan lama, Takiyuddin berkata, ia terpulang kepada penilaian masing-masing.

“Downgrade atau tidak terpulang kepada penilaian masing-masing kerana satu-satu portfolio itu bergantung kepada individu itu sendiri.

“Buktikan dia boleh laksanakan kerja dengan baik, itu yang lebih penting dan saya tekad akan bekerja sebaik mungkin dalam kementerian baharu ini untuk berkhidmat kepada rakyat serta negara,” katanya sambil memberitahu akan lebih memfokuskan kepada isu bekalan elektrik di kawasan pedalaman.

Katanya, setiap menteri yang dilantik sudah menerima arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri agar menunjukkan indeks prestasi utama (KPI) tersendiri dalam tempoh 100 hari pertama menjalankan tugas.

“Kita perlu buktikan kepada Perdana Menteri apa yang kita rancang dan apa yang sudah dicapai.

“Dengan pengalaman yang ada pada semua menteri ini serta sokongan daripada pegawai, saya yakin kerajaan akan membawa peningkatan dalam pentadbiran dan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Sumber: Harian Metro