“Tak tahu siapa bakal dituduh” – Peguam dedah ibu bapa Zayn Rayyan kelihatan sangat terkejut, tak sangka jadi suspek

“Tak tahu siapa bakal dituduh” – Peguam dedah ibu bapa Zayn Rayyan kelihatan sangat terkejut, tak sangka jadi suspek
Seorang peguam memberitahu bahawa, terdapat perkembangan baharu dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, menjurus kepada penahanan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang dibunuh di Damansara Damai, Disember tahun lalu.

Mahmud Abdul Jumaat yang mewakili pasangan suami isteri itu berkata, pihak polis menyatakan perkara tersebut ketika prosiding permohonan reman di Mahkamah Majistret di sini pada Sabtu, di hadapan Majistret, Ainaa Mohd Kamal.

Menurutnya, polis memohon pasangan itu direman selama tujuh hari dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya.

“Buat masa ini kita tidak boleh membuat sebarang spekulasi, jadi saya mohon semua pihak bersabar dan mendoakan keluarga ini kuat menerima ujian tersebut.

“Ia masih dalam tempoh reman dan sekadar melengkapkan siasatan, kita tak tahu lagi siapa lagi yang bakal dituduh,” katanya, lapor Sinar Harian.

Jika siasatan tamat, beliau berkata, kes berkenaan akan dihantar kepada pihak pendakwaraya dan pada saat itu, suspek utama akan diketahui.

Ditanya mengenai bukti baharu atau rekod percakapan mereka yang bercanggah, peguam itu berkata, dua faktor itu mungkin menyumbang kepada penahanan terbabit.

Ketika menemui pasangan suami isteri itu, Mahmud berkata, mereka kelihatan sangat terkejut dan tidak menyangka menjadi suspek.

“Saya juga tidak menjangkakan perkara ini, malah saya percaya satu Malaysia terkejut dengan pernemuan berkenaan, tapi saya yakin pihak polis memohon reman ini untuk melengkapkan siasatan.

“Kita akan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan telus dan terperinci demi keadilan,” katanya yang menambah reman itu mungkin disambung selepas tamat Jumaat depan.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.