Tak serik, bekas banduan ditahan menyamun

Tak serik, bekas banduan ditahan menyamun

 

Bekas banduan yang baru dibebaskan dari penjara bulan lalu kembali ditahan selepas dipercayai terbabit sekurang-kurangnya dalam tiga kes samun bersiri bersenjatakan parang membabitkan kedai serbaneka 24 jam di sekitar bandaraya ini.

Penganggur itu ditahan di sebuah rumah di Bandar Baru Putra, Bercham, di sini, tengah malam semalam dan polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes samun di bandaraya ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditangkap jam 12.55 tengah malam dalam tempoh kurang daripada 30 jam selepas laporan polis bagi kes pertama dibuat iaitu pada 14 April lalu.

Katanya, selain kerugian membabitkan wang tunai hasil jualan kedai serbaneka dianggarkan bernilai RM244, sebanyak 46 kotak rokok pelbagai jenis turut dilarikan suspek.

“Penahanan lelaki itu dibuat menerusi operasi khas dikendalikan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh. Polis turut berjaya merampas beberapa barang kes, termasuk motosikal yang digunakan oleh suspek semasa tangkapan dibuat.

“Dengan tertangkapnya suspek, dipercayai sekurang-kurangnya tiga kes samun bersenjata parang yang dilaporkan di bandaraya Ipoh sudah dapat diselesaikan,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Katanya, suspek kini dalam tempoh tahanan reman selama lima hari bermula semalam hingga 20 April untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392 atau Seksyen 397 Kanun Keseksaan (samun bersenjata atau cubaan samun), selain Seksyen 393 kanun yang sama.

Menurutnya, polis menyeru orang ramai agar sentiasa meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan jenayah khususnya menjelang musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.