Tak sempat sempurnakan program dirangka, Pak Wan akui terkilan

Tak sempat sempurnakan program dirangka, Pak Wan akui terkilan

 

BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof mengakui terkilan kerana tidak sempat menyempurnakan beberapa program dirangkanya.

Namun beliau menafikan dirinya terkilan kerana tidak dilantik semula menganggotai Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Sebaliknya, beliau berkata beberapa program dirangka ketika memegang jawatan itu seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Sifar Asap Karbon 2050 dan pengurangan import makanan, meninggalkan kesan pada dirinya.

“Saya terkilan dari sudut melestarikan langkah yang sudah kita susun dan saya harap mereka akan sambung dan pegawai kerajaan mengangkatnya kepada menteri yang menggantikan saya kerana kalau kita hendak buat yang baru, tidak sempat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada Amer Abdul Malek, 43, dan isteri, Siti Nurhidayah Tompang, 34, yang kehilangan dua anak, Zahrul Fitri Amer, 16, dan Afiq Wafiy, 4, akibat nahas jalan raya pada 23 Ogos lalu, di Taman Kebaya.

Mengenai keanggotaan 23 pemimpin Bersatu dalam Kabinet, Mohd Redzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, ia tidak banyak bezanya dengan Kabinet bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pemimpin Bersatu dalam senarai Kabinet sama sahaja, cuma bezanya Pak Wan digugurkan tetapi saya percaya barisan Kabinet akan berfungsi dengan baik.

“Saya ucapkan tahniah kepada Kabinet yang ada perubahan sedikit dan kita akan berikan kerjasama atas semangat kita dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Beliau berkata, pelantikan dan pengguguran pemimpin dalam Kabinet adalah sebahagian daripada perjalanan politik tetapi berjanji tetap menyokong kerajaan.

“Saya tidak terkilan kerana tidak dilantik semula kerana ini semua pergerakan politik… Pak Wan secara peribadi akan terus menyokong kerajaan untuk merealisasikan apa yang sudah kita mulakan,” katanya.

Jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) kini disandang Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Sumber: Malaysiapost