Tak puas hati minta rakan buka songkok, Ustaz KAFA libas pelajar sampai berbirat belakang badan

Tak puas hati minta rakan buka songkok, Ustaz KAFA libas pelajar sampai berbirat belakang badan

 

Sebelum ini, kecoh di media sosial seorang pelajar darjah lima didakwa dipukul oleh seorang ustaz ketika menuntut di Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA). Ustaz berkenaan dipercayai marah berikutan tindakan mangsa yang meminta supaya rakannya membuka songkok.

Luahan di media sosial

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Muhammad Idzam bin Haji Jaafar memaklumkan pihaknya telah menerima laporan pada Selasa yang lalu (29 Mac 2022) di mana seorang pelajar sekolah KAFA di Cheras telah dirotan oleh guru sekolah berkenaan.

Guru tersebut dikatakan tidak berpuas hati dengan anak pengadu yang meminta rakannya yang duduk di bahagian hadapan kelas menanggalkan songkok kerana sukar melihat tulisan di papan putih.

Hasil siasatan awal mendapati guru tersebut merotan pelajar berkenaan sebanyak lima kali sehingga menyebabkan badan mangsa mengalami kesan calar sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dalam melengkapkan siasatan, pegawai penyiasat kes telah hadir ke sekolah berkenaan namun dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa guru terbabit sedang bercuti dan kini berada di luar kawasan.

Salurkan maklumat

Pihak polis juga turut menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden tersebut untuk tampil menghubungi hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Kes disiasat di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan. Siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kes ini.