Tak pernah memandu walaupun pernah menang 7 buah kereta, rupanya Mawi tak ada lesen

Tak pernah memandu walaupun pernah menang 7 buah kereta, rupanya Mawi tak ada lesen

 

Penyanyi dan pengarah filem, Mawi mengakui dia tidak pernah memiliki lesen memandu sehingga hari ini walaupun pernah memenangi tujuh buah kereta ketika namanya sedang meningkat naik.

Selain Suzuki Swift yang dimenanginya ketika pertandingan Akademi Fantasia 3 (AF3) dahulu, kereta lain yang dimenanginya adalah Proton Satria Neo, Kia Sorento dan Proton Savvy dengan nombor plat khas, MAW1100.

Tiga daripadanya diberikan kepada adik beradik, manakala selebihnya dijual kepada rakan.

Mengulas perihal tiada lesen, Mawi berkata dia tidak mempunyai sebarang trauma, cuma dia tidak minat dengan kereta.

Penyanyi berusia 42 tahun itu juga tidak bercadang untuk mengambil lesen memandu kerana tiada keperluan buatnya apatah lagi isteri, Ekin dan pengurus selalu bersama dengannya.

“Saya memang tak ambil lagi (lesen memandu). Bukan sebab trauma atau apa, tidak langsung. Cuma, saya memang tidak suka memandu.

“Dari dulu, saya memang tak pernah minat dengan kereta. Tapi, pernahlah bercita-cita kalau ada kereta Perodua Kancil pun cukup, tapi Allah beri saya rezeki besar sedikit iaitu Suzuki Swift ketika juara Akademi Fantasia 3 (AF3) dulu.

“Saya ini seorang yang tak minat kereta, tapi Allah kurniakan saya banyak rezeki kereta. Di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), saya menang tiga buah kereta. Semuanya saya beri kepada adik-beradik untuk mereka guna dan ada juga yang saya jual kepada rakan,” katanya.

Pun begitu kata Mawi, hanya Suzuki Swift yang masih disimpan kerana itu kereta pertama dimenanginya.

Baru-baru ini, Ekin mendedahkan suaminya, Mawi tiada lesen memandu selama 16 tahun mereka hidup bersama.

Mawi dan Ekin bernikah pada 21 Disember 2008 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Cahaya Malaika, 12.

Terdahulu, Mawi ditemui pada sesi fotografi bersama Datuk Ustaz Kazim Elias dan Anas Tahir, di sini, bagi mempromosikan filem Zim Zim Ala Kazim yang akan menemui penonton di pawagam tanah air pada 13 Jun depan.