“Tak mahu menjawab ‘di sana’ nanti” – Pernah makan nasi berlauk perencah mi segera, bapa tunggal nekad keluar asnaf

Enam tahun lalu, dua beranak ini pernah makan berkongsi sepinggan nasi hanya berlaukkan perencah mi segera kerana kesempitan hidup sehinggalah dibantu Baitulmal kira-kira setahun kemudian.
Kini, selepas keadaannya kembali sihat dan mempunyai pekerjaan tetap, Zaidtulakmar Norjali, 49, nekad keluar daripada senarai penerima bantuan asnaf kerana yakin dia sudah mampu untuk menyara diri sendiri serta keluarga.
Mengimbau kisah 2018 itu, pemandu lori berkenaan berkata, dia terpaksa berhenti kerja kerana berhadapan dengan masalah sakit tulang belakang menyebabkannya hilang sumber pendapatan.
“Ketika itu, hanya tinggal anak bongsu yang berusia 14 tahun masih di bawah tanggungan saya manakala isteri sudah meninggal dunia pada awal tahun. Waktu tidak bekerja selama enam bulan itu sangat sukar bagi kami.
“Ada ketikanya, saya hanya mampu beri anak makan nasi berlaukkan perencah mi segera. Bekalan air dan elektrik rumah turut dipotong kerana saya tidak mampu melunaskan bayaran bil,” katanya ditemui.
Tambahnya, nasib keluarganya sedikit berubah apabila kisahnya dikesan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS) yang menghulurkan sumbangan selain memanjangkan masalah dihadapi kepada Baitulmal.
“Sejak itu, saya menerima bantuan bulanan RM250 dan barangan keperluan. Alhamdulillah, pada 2022, kesihatan saya semakin baik dan sudah mampu bekerja sebagai pemandu lori.
“Namun, pada masa sama, saya beberapa kali berhenti kerja kerana sakit tulang belakang menyerang kembali. Pada awal tahun ini, saya rasa sakit pulih sepenuhnya,” katanya.
Bercerita lanjut, bapa tunggal itu berkata, pada Mac lalu, dia tergerak untuk keluar daripada asnaf kerana hanya menanggung diri sendiri manakala anak bongsu sudah bekerja.
“Dengan pendapatan sekarang dan hanya perlu membantu anak daripada segi kewangan, saya rasa bertanggungjawab untuk keluar daripada penerima bantuan asnaf.
“Saya tidak mahu menjawab ‘di sana’ (akhirat) nanti. Saya sudah mampu, namun masih menerima bantuan sedangkan masih ada yang betul-betul layak untuk mengisi tempat saya.
“Bagaimanapun, pada masa sama, saya masih berbelah bagi kerana takut sakit tulang belakang menyerang kembali. Akhirnya awal bulan lalu, saya hubungi PCRS dan maklumkan nekad mahu keluar daripada asnaf,” katanya.
Sementara itu, Penaung PCRS Zulkifli Muhamed berkata, keputusan Zaidtulakmar keluar daripada asnaf selepas menjalani kehidupan yang lebih stabil adalah sesuatu yang positif.
“Awal minggu lalu, Zaidtulakmar hubungi saya dan maklumkan mahu keluar daripada asnaf. Jadi saya maklumkan kepada Baitulmal sebelum mereka mahu saya keluarkan sekeping surat sebagai bukti hitam putih.
“Bagaimanapun, sekiranya Zaidtulakmar diuji lagi selepas keluar daripada asnaf, Baitulmal minta supaya maklumkan kepada mereka kerana akan ada bantuan lain sebagai sokongan permulaan.
“Ia sesuatu yang boleh dijadikan contoh dan inspirasi bagi menyuntik semangat kepada asnaf lain untuk berusaha memajukan diri dan bukannya berterusan menjadi penerima bantuan.
“Bagi saya, Zaidtulakmar bersikap jujur apabila dia sendiri hubungi saya beritahu yang kehidupannya makin baik dan nyatakan hasrat mahu keluar daripada asnaf,” katanya.