Tak mahu lawan abang sendiri, Ustaz Kazim mohon maaf pada pengundi BN

Tak mahu lawan abang sendiri, Ustaz Kazim mohon maaf pada pengundi BN

 

Penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim, memohon maaf kepada pengundi dan penyokong Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut kerana membatalkan hasrat untuk bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira prinsip untuk menjaga hubungan keluarga serta wasiat arwah ibunya.

Menurutnya, sebelum menerima pelawaan daripada kepimpinan UMNO Perak dan Pusat, beliau telah memaklumkan bahawa beliau tidak mahu bertanding dengan ahli keluarga di dalam satu Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Beberapa rundingan dilakukan bersama dengan saudara-saudara kandung saya, sehinggalah saya mengambil keputusan, setelah berbincang untuk menandatangani watikah sebagai calon, akujanji sebagai calon Parlimen Larut.

“Dalam masa yang sama juga, abang saya juga menandatangani wakil bagi satu lagi parti yang berbeza tanpa kami saling mengetahui yang dia pun tandatangan, saya pun tandatangan,” katanya.

1807042

Beliau bercakap dalam sidang media di Kompleks Darul Barakah, Manjoi di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas mengetahui perkara itu dan berbincang semula dengan keluarga, beliau mengambil keputusan untuk memberi laluan kepada abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias bertanding di DUN Batu Kurau atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Tambahnya, beliau telah mengutus surat kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid, memaklumkan mengenai penarikan diri itu tetapi difahamkan surat itu hanya diterima Ahmad Zahid selepas pengumuman calon BN pada 1 November lalu.

Menurut Ustaz Kazim, beliau akan turun ke Larut untuk berjumpa dengan calon yang menggantikannya.

Pada Rabu, beliau menarik diri daripada bertanding mewakili BN pada PRU15 di Parlimen Larut, tidak sampai 24 jam selepas namanya diumumkan.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengesahkan perkara itu mengumumkan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud sebagai ganti.