Tak mahu kes dipanjangkan, pemilik anjing terima maaf posmen digantung kerja

Tak mahu kes dipanjangkan, pemilik anjing terima maaf posmen digantung kerja

Semalam, Shahrol memuat naik video mempamerkan pertemuannya bersama Dollah di mana lelaki terbabit mengaku bersalah dan menyesal di atas perbuatannya mencederakan anjing yang tidak bersalah itu.

Memandangkan dia telah menerima notis penggantungan kerja dari pihak Pos Malaysia, Dollah turut berharap agar isu tersebut tidak dipanjangkan oleh pemilik anjing berkenaan.

 

Di samping itu, Shahrol meluahkan rasa simpati terhadap Dollah dan memohon agar pihak Pos Malaysia menarik balik hukuman dan membenarkan lelaki itu bekerja semula kerana dia merupakan punca pendapatan utama keluarganya.

Selain itu, Shahrol turut berkongsi perjalanan mereka berjumpa dengan pemilik anjing terbabit yang dikenali sebagai Encik Siva dan Puan Magesh bertujuan untuk menjernihkan keadaan.

Syukur, pasangan suami isteri itu berbesar hati menerima kunjungan mereka berdua. Malah, mereka melayan Shahrol dan Dollah dengan penuh kemesraan seperti saudara sendiri.

 

“Semalam pukul 10 pagi-pagi saya dah telefon. Pasal saya tak nak bawa kes ni lama-lama. Memang saya tahu kerja posmen ni panas, hujan. Memang ‘tension’ saya tahu, saya faham,” ujar Siva ketika ditemui.

Sejurus itu, Dollah terus memohon maaf pada Siva dan memberi penjelasan lanjut tentang kesilapannya itu. Dia sedar akan kesalahannya sangat menyesal dengan perbuatannya menganiaya haiwan.

“Saya mohon maaf sangat. Saya pun abang tau lah kerja pos. Gaji pun bukannya besar mana. Saya takut hilang saya punya karier. Saya minta maaf bang,” luah Dollah, diiringi air mata.

Menurut Shahrol, dia berharap kes tersebut dapat ditamatkan di situ dan menyifatkan kejadian yang berlaku itu mempunyai hikmah di sebaliknya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan tahniah dan berdoa agar urusan mereka dipermudahkan.

 

Terdahulu, tular di serata laman sosial tentang perkhabaran seorang posmen melastik seekor anjing peliharaan di sebuah kawasan perumahan sehingga mengakibatkan kecederaan.

Difahamkan lagi, posmen itu dikenakan hukuman gantung kerja sementara siasatan dijalankan oleh pihak Pos Malaysia.

Sumber: Instagram Shahrol Shiro, OMM