‘Tak kisah berpanas & berhujan, mahu jadi orang pertama yang melihat dia jika dikeluarkan nanti’

‘Tak kisah berpanas & berhujan, mahu jadi orang pertama yang melihat dia jika dikeluarkan nanti’

 

Isteri salah seorang mang­sa yang tertimbus dalam kejadian runtuhan batu di tapak kuari Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini, setia menunggu suaminya di lokasi itu sejak 8 Mac lalu.

Bersila atas tikar dan duduk atas bangku kecil sudah menjadi rutin Wak Uda Bah Kim, 41, sejak lebih seminggu lalu.

Menurut ibu empat anak berusia dua hingga 15 tahun itu, dia menempuh perjalanan kira-kira 40 minit dari rumahnya di Kampung Orang Asli Ulu Jelintoh, Gopeng ke tapak kuari bagi mengikuti perkembangan me­ngenai suaminya, Itam Lasoh, 43.

“Walaupun hanya nampak bongkah batu dari jauh, itu sudah memadai. Memang saya boleh duduk di rumah dan tunggu maklumat daripada pihak berkuasa, tetapi dia (Itam) suami saya. Sebagai isteri saya mahu melihatnya di depan mata.

“Pada pukul 12 tengah hari setiap hari, saya dan bapa datang ke sini. Saya tidak kisah berpanas dan akan tetap datang walau apapun halangannya,” katanya ketika ditemui di lokasi penca­rian yang memasuki hari kesembilan semalam.

Menurut Wak Uda, empat anaknya memahami kejadian yang berlaku, namun anak bongsu mula menunjukkan rasa rindu kepada bapanya apabila datang memeluknya sebaik dia sampai di rumah dari lokasi runtuhan.

“Saya terpaksa kuat demi anak-anak dan reda dengan apa berlaku (selepas ini),” katanya.

Sementara itu, bapa Wak Uda, Bah Kim memberitahu, walaupun perlu berulang-alik memandu sejauh kira-kira 20 kilometer dia tidak kisah asalkan dapat membawa anaknya ke lokasi runtuhan.

“Kami sayangkan Itam kerana dia seorang menantu yang baik dan bersusah payah mencari rezeki menanggung anak dan saya, malah dia juga tidak benarkan saya bekerja.

“Kami tidak kisah berpanas dan berhujan kerana mahu menjadi orang pertama yang melihat dia jika dikeluarkan nanti,” katanya.

Itam merupakan salah seorang pekerja kuari yang dipercayai tertimbus dalam kejadian runtuhan batu di tapak kuari di Keramat Pulai pada 8 Mac lalu. Seorang lagi mangsa yang tertimbus, Kheow Loo Siew Soon, 49.