Tajuddin bakal dilantik Duta Besar Malaysia ke Indonesia

Tajuddin bakal dilantik Duta Besar Malaysia ke Indonesia

 

KHABAR angin bertiup kencang mendakwa Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bakal dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Beliau dijangka menggantikan Datuk Zahrain Mohamed Hashim sebagai Duta Besar Malaysia di negara jiran itu.

Tambah menguatkan spekulasi, Tajuddin turut bersama mengikuti rombongan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengadakan lawatan tiga hari ke Indonesia, bermula hari ini.

“Tidak baik untuk saya mengulas mengenai perkara ini,” kata bekas Pengerusi Prasana itu kepada Malaysiapost.

Menurut sumber yang rapat dengan Tajuddin, Wisma Putra akan mengumumkan berhubung pelantikan Tajuddin itu dalam masa terdekat.

“Jadi, tunggu saja lah, kerajaan akan mengumumkan pelantikan Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia tidak lama lagi, dalam masa terdekat ini,” kata sumber itu.

Sementara itu, dalam kenyataan Wisma Putra hari ini, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Jokowi Widodo.

Ismail Sabri juga dijadual bertemu dengan komuniti perniagaan dan pemain industri Indonesia, ketua pengarang media Indonesia, dan diaspora Malaysia di Indonesia, selain menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman dan perjanjian antara kedua-dua negara.

Lawatan Perdana Menteri itu turut diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pegawai kementerian dan agensi kerajaan.