Tahun lalu tiada rezeki, kini peniaga bazar bersemangat sambut Ramadan

Tahun lalu tiada rezeki, kini peniaga bazar bersemangat sambut Ramadan

Peluang berniaga di bazar Ramadan di Tapak Letak Kereta Stesen Bas Pengkalan Hulu di sini ternyata menceriakan 44 peniaga yang pada tahun lalu terpaksa menerima kenyataan bahawa tiada bazar dianjurkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19.

Tambah menggembirakan mereka apabila sewa RM100 dikenakan Majlis Daerah Pengkalan Hulu (MDPH) sudah dibayar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datuk Aznel Ibrahim.

Peniaga air kelapa, Supian Abd Razak, 45, berkata, bayaran tapak RM100 yang sepatutnya dibayar kepada MDPH itu digunakan sebagai tambahan modal untuk berniaga di bazar Ramadan itu.

“Tahun lepas kami tidak dapat berniaga kerana PKP dan berharap bazar Ramadan tahun ini mendapat sambutan,” katanya.

Sementara itu, peniaga nasi berlauk, Norziah Osman, 54, percaya semua peniaga sudah bersedia mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Peluang untuk berniaga ini perlu dimanfaatkan sebaiknya termasuk mengikut SOP demi kepentingan bersama,” katanya.

Sementara itu, Aznel berkata, beliau berasa bertanggungjawab membantu peniaga-peniaga itu memandangkan keadaan mereka yang baru hendak memulakan perniagaan dalam suasana Covid-19 ini.

Menurutnya, sebanyak 67 tapak disediakan untuk peniaga-peniaga menjual pelbagai menu dan juadah berbuka puasa.

“Bazar Ramadan boleh menjadi punca pendapatan kepada penduduk kampung sehingga boleh menampung perbelanjaan mereka selama enam bulan. Saya harap mereka akan memanfaatkan sebaik-baiknya peluang diberikan ini.

“Saya juga berharap mereka mempunyai kekuatan diri untuk berniaga kerana berkemungkinan terpaksa menanggung risiko kerugian dalam keadaan yang luar jangka seperti sekarang,” katanya. – Utusan