Tahun Baru Cina: Kerajaan keluar SOP baru
Majlis Keselamatan Negara (MKN) membatalkan peraturan had maksimum “20 orang setiap rumah” dalam prosedur operasi standard (SOP) sambutan Tahun Baru Cina berbanding apa yang dinyatakan semalam.
SOP baru itu bagaimanapun mengekalkan peraturan bahawa jamuan makan malam sempena perayaan tersebut hanya boleh diraikan oleh anggota keluarga dari rumah yang sama.
“Jamuan makan besar keluarga (family reunion dinner) di rumah kediaman dibenarkan hanya (untuk) seisi keluarga dalam rumah yang sama saja,” kata hebatan pada laman sesawang MKN itu hari ini.
Melalui SOP dikeluarkan pada 4 Feb, MKN menyatakan jamuan makan besar itu terhad kepada maksimum 20 orang dari rumah yang sama.
Kata MKN, SOP baru itu terpakai pada 11, 12 dan 19 Feb. Ia sedikit berbeza berbanding syarat terdahulu yang menyatakan peraturan tersebut berkuat kuasa pada 12 dan 13 Feb.
Secara tradisinya masyarakat Cina di seluruh negara akan balik kampung untuk menghadiri ‘makan besar’ pada malam sebelum sambutan Tahun Baru Cina.
Dalam konteks tahun ini, jamuan berkenaan akan berlangsung pada 11 Feb.
Tarikh 19 Feb pula adalah hari kelapan bulan pertama mengikut kalendar Cina dan komuniti Hokkien meraikan “Bai Tian Gong”.
Semalam Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata MKN memutuskan sambutan makan besar itu terhad kepada ahli keluarga yang tinggal dalam rumah yang sama.
Bagaimanapun media melaporkan Sarawak mengeluarkan garis panduan berbeza dengan membenarkan jamuan makan besar dihadiri ahli keluarga yang tinggal di bandar atau pekan sama.
Namun ia terhad kepada 20 orang saja dan tidak boleh diadakan di hotel atau restoran.
Garis panduan yang dikeluarkan MKN sebelum ini mendapat kritikan pelbagai pihak, malah dianggap sebagai tidak sensitif kepada tradisi masyarakat Cina. – MK