Tahniah! Pujian kepada Mujahid, Nik Hasyudeen ekoran kejayaan Tabung Haji

Tahniah! Pujian kepada Mujahid, Nik Hasyudeen ekoran kejayaan Tabung Haji

 

Pujian dan tahniah bertubi-tubi datang kepada bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Nik Mohamad Hasyudeen Yusof yang disifatkan sebagai dua tunggak utama di belakang kejayaan memulihkan Tabung Haji.

Turut mendapat pujian adalah CEO sebelum Nik Hasyudeen iaitu Datuk Seri Zukri Samat yang memulakan pelan pemulihan ke atas Tabung Haji selepas jatuh teruk sebelum itu apabila tanggungannya melebihi aset yang ada.

Zukri mula dilantik sebagai CEO pada Julai 2018 selepas PH mengambil alih pemerintahan negara sebelum disambung oleh Nik Hasyudeen.

Kejayaan pemulihan Tabung Haji dibuktikan menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2019 yang dikeluarkan semalam yang mengesahkan bahawa Pakatan Harapan (PH) berjaya memulihkan kewangan Tabung Haji (TH).

Bukti bahawa PH berjaya menjadikan TH sebuah agensi bagi umat Islam adalah berdasarkan Sijil Ketua Audit Negara tentang Penyata Kewangan Lembaga Tabung Haji (LTH) untuk 2019.

Diperakui ikut MFRS (Malaysian Finance Reporting Standard) dan IFRS (International Finance Reporting Standard) dan patuh Akta TH.

Diperakui pada 23 Disember 2020 semalam melalui kenyataan Sijil Ketua Audit Negara.

Mujahid melalui tulisannya mengucapkan syukur di atas pengiktirafan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara ini.

“Alhamdulillah, Ketua Audit Negara memperakui pematuhan kami kepada Malaysian Finance Reporting Standard (MFRS) dan International Finance Reporting Standard (IFRS) dan lebih penting amanah mematuhi Akta TH dipenuhi.

“Saya mengharapakan kelestarian TH dikekalkan kerana ia adalah kebanggaan umat Islam dalam dan luar negara.

“Berhentilah daripada TH menjadi tunggangan politik dan agama dengan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas,” kata beliau.

Mujahid juga menegaskan, matlamat pemulihan yang beliau dan pasukan Tabung Haji gerakkan semasa diberi amanah menjaganya adalah untuk memastikan kewangan TH mengikut piawaian laporan kewangan supaya tidak berlaku manipulasi semata-mata untuk membayar hibah yang tinggi tetapi membahayakan kewangan TH pada masa depan.

Dalam pada itu, Nik Hasyudeen mendapat pujian dan ucapan tahniah menerusi Facebooknya selepas beliau memaparkan sijil Ketua Audit Negara itu.

“Laporan tahunan Tabung Haji untuk tahun kewangan 2019 sudah ada di laman sesawang TH. Anda boleh memuat turun  laporan ini dengan klik di laman ini.

“Laporan audit bersih dan tidak ada ’emphasis of matter’,” tulis Nik Hasyudeen menerusi Facebook beliau.

Ketika mengulas tulisan ringkas bekas CEO Tabung Haji semasa PH itu, Asrul Jazz menulis, “Terima kasih kerana menjaga TH dengan amat baik. Harapnya kepimpinan baru teruskan kecemerlangan ini. TH bukan milik mana-mana individu atau parti politik ia milik umat Islam.”

Nish Hussin pula menulis, “Alhamdulillah. Tahniah tok. kebenaran dah terbukti….”

Mokhtar Mahmud pula menulis, “Tahniah Datuk atas kejayaaan yang tak dapat disangkal lagi.”

Sumber: Malaysiadateline