Tahniah KL City, dari pasukan tercorot ke Juara TM Piala Malaysia

Tahniah KL City, dari pasukan tercorot ke Juara TM Piala Malaysia

 

Mengejutkan tetapi itulah realitinya, dari pasukan tercorot Liga Super dua tahun lalu kini adalah juara TM Piala Malaysia.

Dan yang lebih terkejut lagi adalah mengalahkan harimau selatan Johor Darul Takzim (JDT) pasukan yang dianggap gergasi bola sepak negara dan jugakerana perbelanjaannya yang besar.

Dan antara orang di belakang kejayaan ini dan yang paling gembira adalah Khalid Samad, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Beliau yang sentiasa berada di stadium ketika anak buahnya bermain tidak pernah lupa memberikan semangat kepada pasukannya untuk menang.

Dan kini, rakaman video yang paling viral adalah bagaimana Khalid memberikan semangat kepada anak buahnya menjelang perlawanan malam tadi.

“This is our stadium. Tonight is our night. We will win (Ini adalah stadium ini. Malam ini adalah malam kita, Kita akan menang),” kata Khalid penuh semangat dengan disambil sorakan anak buahnya menjelang pertandingan akhir malam tadi.

Sebenarnya, inilah yang dibuat Khalid sejak mengambil alih kerusi KLFA dua tahun lalu, membantu menguruskan KLFA dan memberikan semangat kepada pemain pasukannya agar mereka memasuki padang untuk menang.

“Sebenarnya, yang membawa kejayaan ini selain mover yang dibuat oleh jurulatih Bojak Hodak dan pengurusan yang dibuat oleh Stanley Benard CEO KL City, adalah semangat para pemain yang dahagakan kemenangan,” kata Khalid kepada Malaysia Dateline menjelang perlawanan malam tadi merendah diri dengan peranannya.

Dan terbukti, mereka menang mengalahkan harimau selatan JDT, pasukan yang dikatakan tidak akan kalah itu.

KL City menang 2-0 ke atas JDT hasil gerakan yang diatur Bojak Hodak di separuh masa kedua perlawanan selepas defensif pada separuh masa pertama.

Kejayaan malam tadi adalah penantian selama 32 tahun Kuala Lumpur City di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Jelas sekali taktikal pengendali Kuala Lumpur Bojan Hodak bertahan dahulu menyerang kemudian berhasil apabila berjaya memerangkap juara lapan kali Liga Super itu sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada edisi terdahulu.

Ternyata tindakan Bojan yang mengubah taktikal kepada menyerang menjadi apabila pemain sayapnya Zharif Yahya berjaya menyumbat gol pertama perlawanan pada minit 67 untuk kedudukan 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, pengendali Harimau Selatan melakukan empat pertukaran dengan memasukkan Nazmi Faiz, Corbin Ong, Mohamdou Sumareh dan Syafiq Ahmad untuk menambah sengat di bahagian serangan. Namun, Kuala Lumpur pula menambah derita JDT apabila penyerang importnya Paulo Josue berjaya menyumbat gol kedua pada minit 74 untuk skuad The City Boy mendahului 2-0.

Lebih manis lagi kejayaan dikecapi Kuala Lumpur yang turun dengan barisan pemain agak terhad adalah pada ulang tahun ke-100 piala tertua di Asia Tenggara itu.

Tahniah Kuala Lumpur.