“Tahniah bekas sahabat baik, berjaya runtuhkan masjid ini & anak-anak saya kehilangan bapa” – Bella Astillah

“Tahniah bekas sahabat baik, berjaya runtuhkan masjid ini & anak-anak saya kehilangan bapa” – Bella Astillah

 

“Tahniah kepada bekas sahabat, Ruhainies kerana runtuhkan masjid ini”

Kata-kata tajam daripada Bella Astillah di ruangan kapsyen sejurus sah bercerai talak satu dengan aktor kelahiran Singapura, Aliff Aziz nampaknya cukup tepat ditujukan kepada pelakon Ruhainies yang dikatakan menjadi punca keruntuhan rumah tangga bersama bekas suami.

Menerusi hantaran Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabiela Awang Astillah, 30 di Instagram, dia  telah meluahkan apa yang dirasa setelah berakhirnya rumah tangga yang dibina.

Ujar Bella, walaupun mengimpikan tentang rumah tangga yang kekal serta keluarga bahagia, namun seberapa banyak peluang yang diberi dia tetap tidak dapat melawan takdir yang sudah tertulis.

“Sudah cukup memperjuangkan hubungan ini tapi perjuangan ini sia sia kerana saya seorang sahaja yang berjuang.

Doa saya agar kehidupan baru saya bersama anak-anak dipermudahkan dan saya akan cuba sebaik mungkin menjadi ibu dan bapa yang terbaik untuk mereka. Tiada penyesalan, saya terima ini adalah ujian dan pengalaman hidup,” tulisnya.

Dalam pada itu, diakhir kapsyen tersebut, Bella telah memberikan kata-kata yang cukup pedas buat bekas sahabatnya, Ruhainies dengan mengucapkan tahniah diatas keberhasilannya meruntuhkan rumah tangga bersama Aliff Aziz.

“Dan buat kali terakhir saya ingin mengucapkan tahniah kepada bekas sahabat saya, Ruhainies kerana berjaya meruntuhkan masjid ini dan anak-anak saya kehilangan bapa mereka.

“Jalan terus, Dayang Ara Nabellah Binti Awang Astillah,” ujarnya.

Dia juga memaklumkan tidak akan lagi mencintai seseorang dengan sedalamnya kerana merasakan jika berpisah, lukanya juga begitu dalam.

“Selepas hari ini, saya tidak lagi ingin mencintai seseorang terlalu dalam, kerana jika berpisah, lukanya pun pasti terlalu dalam,” katanya lagi.

Terdahulu, Bella telah membuat permohonan untuk berpisah pada 13 Mac 2024 di Makahamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur beberapa hari setelah Aliff ditangkap khalwat bersama seorang pelakon wanita, Ruhainies.

Walau bagaimanapun, aktor berkenaan memaklumkan enggan menceraikan isterinya kerana masih sayangkan rumah tangga yang dibina dan juga anak-anak.