Tafsiran ulamak zaman silam, apabila sesuatu bencana turun, tanda kemurkaan Ilahi terhadap perbuatan dosa & kezaliman manusia – Sultan Nazrin

Tafsiran ulamak zaman silam, apabila sesuatu bencana turun, tanda kemurkaan Ilahi terhadap perbuatan dosa & kezaliman manusia – Sultan Nazrin

 

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pandemik yang sedang dihadapi, hendaklah menginsafkan para pemimpin yang telah diamanahkan dengan tanggungjawab untuk melakukan penetapan semula dalam urus tadbir negara.

Sehubungan itu, titah baginda, perkara yang perlu diutamakan dalam urus tadbir negara ialah berteraskan prinsip keadilan, iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya dan menyerahkan amanah kepada yang ahli dalam bidangnya.

Baginda bertitah, ahli falsafah Islam Ibnu Khaldun dalam mukadimah yang dihasilkannya 800 tahun lalu, mengaitkan bencana dengan perubahan sosial yang membentuk lima fasa.

“Fasa pertama, suatu kaum bersandarkan semangat asabiyah bergerak membentuk identiti politik, fasa kedua, bermulanya perluasan kuasa, pengaruh dan wilayah, fasa ketiga, kerajaan melalui zaman kemewahan dan kesenangan hasil pemerintahan sebelumnya, fasa keempat, fasa kelalaian dan berpuas hati dengan pencapaian serta fasa kelima fasa kejatuhan dan kehancuran sesebuah identiti politik dan kerajaan.

“Ibnu Khaldun memberikan peringatan bahawa lima fasa tersebut akan berulang; setiap tamadun dan setiap identiti politik akan menghadapinya dalam kitaran sejarah.

“Manusia, pada saat menghadapi bencana berat yang sedang melanda ini, wajib mendalami lubuk hati, menyelami daya fikir, agar dapat menginsafi tentang kemungkinan jatuhnya sesebuah identiti politik, kerajaan, negara dan tamadun, jika sesebuah negara tidak memiliki cukup persediaan dan kekuatan,” titah Sultan Nazrin.

Titah baginda dibacakan oleh Pro-Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah ke-13 yang diadakan secara maya pada Sabtu.

Turut sama pada konvokesyen secara maya itu, Naib Canselor USAS, Profesor Tan Sri Dr Nordin Kardi.

Titah Sultan Nazrin, sehingga berjaya menemui penawar mujarab, manusia hendaklah menggunakan akal fikiran melakukan perubahan, penyesuaian dan penghijrahan daripada norma hidup sebelum ini dengan memiliki pandangan alam yang bijaksana.

“Pandemik dan penyakit walaupun bermula daripada tangan durjana manusia, tetapi keizinan terjadinya pandemik dan penyakit, ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

“Pada zaman silam, ulama mentafsirkan, apabila sesuatu bencana diturunkan, menandakan kemurkaan Ilahi terhadap perbuatan dosa dan kezaliman manusia.

“Oleh itu, di samping usaha begitu gigih yang diterokai untuk mencari formula mengatasi wabak, manusia wajib meneguhkan iman, menerima sesuatu bencana sebagai qadar yang telah ditentukan Ilahi, dan berusaha mencari rahsia yang terkandung di sebalik bencana yang diturunkan,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Nazrin yang juga Canselor USAS bertitah, konvokesyen yang sepatutnya berlangsung pada akhir tahun lalu terpaksa ditangguhkan dengan harapan wabak dapat dikawal dan angka jangkitan menurun.

“Sebaliknya, virus COVID-19 terus menyerang ganas dan semakin ganas, mengakibatkan angka jangkitan dan kematian terus meningkat.

“Membaca keadaan yang berlaku, Beta telah memperkenankan sembah cadangan pengurusan universiti agar istiadat konvokesyen tidak ditangguhkan lagi, sebaliknya dilaksanakan secara maya.

“Beta menzahirkan ucapan setinggi tahniah kepada para graduan serta penghargaan kepada semua pihak yang berada di sebalik kejayaan para graduan,” titah Sultan Nazrin.

Pada Istiadat itu, seramai 1,292 graduan dianugerahkan ijazah dan diploma dalam bidang pengajian masing-masing, selain dua orang penerima ijazah Doktor Falsafah, 59 orang ijazah Sarjana, 288 orang ijazah Sarjana Muda, dan 923 orang diploma.

Sumber: Astro Awani