Taat perintah suami, Fatin Afeefa tinggalkan dunia lakonan & nyanyian

Taat perintah suami, Fatin Afeefa tinggalkan dunia lakonan & nyanyian

 

Pelakon dan penyanyi, Fatin Afeefa tinggalkan dunia lakonan dan nyanyian susulan permintaan daripada suaminya, Aliff Awang.

Memetik laporan mStar, Fatin atau nama sebenarnya Fatin Nur Afifah Shamsudin berkata dia mengambil tindakan itu kerana mahu memberikan perhatian penuh kepada keluarga.

Menurut penyanyi berusia 30 tahun itu, selain mahu memberikan tumpuan kepada keluarga, dia juga mengambil tindakan itu atas permintaan suaminya sendiri iaitu Aliff atau mesra dipanggil Opai.

“Selepas berkahwin, saya hormat permintaan suami saya. Dia kata boleh ke tak payah berlakon atau menyanyi? Saya jawab boleh sahaja, kerana saya tidak kisah pun dan saya sayng dia.

“Saya tidak akan berlakon lagi, tidak akan menyanyi lagi. Tapi saya minta pada dia sedikit kelonggaran untuk buat beberapa kempen. Maklumlah, saya sudah terbiasa bekerja.

“Saya hanya keluar sebulan sekali bekerja dan dia bersetuju. Nak kata ralat tinggalkan lakonan dan nyanyian, tidak langsung.

“Sekarang ini, saya lebih suka duduk rumah. Tak tahu macam mana nak jelaskan, tapi rasa tenang sahaja perasaan. Hidup dalam keadaan yang orang ramai tak ambil tahu, tiada tekanan,” katanya.

Fatin turut berkata dia mahu memperbaiki diri dengan menjadi manusia yang lebih baik disamping ingin menjaga batas pergaulan sebagai seorang Muslim.

Menurut pelakon itu, dia tidak mahu bergelumang dalam kehidupan bebas dan mahu memberikan tumpuan sepenuhnya buat suami dan anak-anak.

“Dia kata sebab semua itu adalah aurat. Tetapi saya mencuba untuk perbaiki diri dan menjadi seorang Muslim yang lebih baik. Suami kata suara itu aurat, dan saya belajar untuk kurangkan semua itu.

“Macam berlakon, semua sedia maklum kebanyakkan akan secara bebas. Apabila saya fikir semula, betul juga. Dulu masa saya berlakon pun bergaul campur dan bebas, ada laki orang, bini orang. Saya tidak mahu lagi berada di situasi itu lagi. Fokus sekarang keluarga sahaja,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fatin dan suaminya juga mahu menunjukkan contoh ibu bapa yang terbaik buat anak-anak mereka dan kini sedang cuba untuk istiqamah dalam menutup aurat.

“Saya mahu menjadi seorang Muslim yang lebih baik. Saya dan suami juga sudah buang posting-posting yang haram di media sosial, yang tidak elok.

“Untuk mendidik anak, ibu bapa perlu tunjuk contoh yang baik untuk diikut, role model. Saya pun masih belajar semua itu.

“Termasuk memakai tudung dulu pun agak kekok pada mulanya tidak tahu. InsyaAllah, doakan yang baik-baik untuk saya sekeluarga,” ujarnya.

Sekadar info, Fatin pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Adam Shahz pada 21 Disember 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Ivy Herra Sophia namun pasangan ini bercerai pada 30 Mei 2017.

Fatin kemudian mendirikan rumah tangga bersama Aliff pada Disember 2022 dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup di Subang Jaya.