Syukur dapat tunai solat Jumaat

Syukur dapat tunai solat Jumaat

Syahrul Izuan, 40, antara 40 jemaah yang hadir menunaikan kewajipan itu di Surau Nurul Islamiah Taman Meru 2c, di sini, hari ini.

Kelmarin, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan semua masjid dan surau di negeri ini mendirikan kewajipan itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Selain 40 jemaah berkenaan, 15 lagi individu terdiri pegawai serta ahli jawatan kuasa (AJK) surau dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Syahrul Izuan berkata, dia terharu apabila berpeluang untuk menunaikan solat Jumaat kerana tidak dapat menunaikan kewajipan itu sejak sebulan lalu.

“Rumah saya agak dekat dengan surau ini menyebabkan saya memang sering solat, di sini, sebelum ini.

“Bila kembali dibenarkan solat di surau selepas lebih sebulan lalu, sememangnya saya antara orang yang sangat gembira.

“Tiada apa perlu dirisaukan kerana kita berhimpun bagi berdoa dan meminta agar Allah segera mengangkat musibah wabak Covid-19. Pelaksanaan SOP juga dikawal sangat ketat oleh pegawai dan AJK surau selain agensi berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi surau berkenaan, Mohd Noor Abdullah, 61, berkata pihaknya akur dengan ketetapan 40 jemaah selain pegawai dan AJK yang dibenarkan hadir untuk solat Jumaat.

Menurutnya, pihaknya tidak bercadang mengguna pakai sistem penggiliran antara jemaah selagi SOP PKP solat Jumaat seperti sekarang diterapkan kerana mengambil kira faktor tertentu.

Katanya, pihaknya turut merafak sembah terima kasih kepada Sultan Nazrin kerana mengambil berat termasuk mendengar keluhan rakyat khususnya umat Islam yang mahu syiar Islam disemarakkan walaupun sedang berhadapan wabak.

“Syukurlah kepada Allah kerana sebagai orang Islam, kita harus yakin bahawa kadangkala sesuatu musibah juga terselitnya rahmat yang kita tidak sedar,” katanya. – HM