Syukur dapat telefon pintar YES percuma, walaupun murah

Syukur dapat telefon pintar YES percuma, walaupun murah

Pemberian secara percuma telefon pintar jenama YES oleh kerajaan negeri kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan amat membantu mereka yang tidak mempunyai peranti itu bagi mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak di sini, Muhammad Asmadi Ahmad Zabidi, 17, berkata, telefon pintar yang diterimanya itu amat dihargai walaupun ramai mengatakan ia adalah telefon murah dengan spesifikasi rendah.

“Mungkin bagi mereka telefon ini murah, tidak bagus tetapi bagi saya yang tiada telefon pintar ia amat berharga kerana saya boleh guna untuk buat kerja sekolah.

“Sebelum ini saya terpaksa guna telefon ayah dan berebut dengan dua adik yang lain apabila ada pembelajaran dalam talian,” katanya kepada pemberita selepas menerima telefon berkenaan di Kampung Padang Asam di sini hari ini.

Bapa pelajar itu, Ahmad Zabidi Ibrahim, 58, amat bersyukur kerana anaknya dipilih untuk menerima telefon percuma itu kerana dia kurang berkemampuan menyediakan peranti tersebut.

“Saya terpaksa bagi telefon saya kerana anak-anak nak buat kerja sekolah, telefon pula ada satu tapi yang guna tiga orang dan selalunya bagi adik-adik dia guna kemudian baru abang dia buat.

“Saya rasa bersyukur anak dapat telefon, kita tak boleh dengar cakap orang yang penting kita guna dahulu kerana kerajaan dah bagi sumbangan maka kita terima sahaja,” katanya.

Ahmad Zabidi yang bekerja kampung memberitahu, dia akan memantau anaknya agar menggunakan telefon tersebut hanya untuk tujuan pembelajaran.

Seorang lagi penerima, K. Tashini, 17, juga pelajar SMK Tun Perak meluahkan rasa gembira kerana memiliki telefon pintar sendiri yang akan memudahkan dia mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Sangat gembira, senang untuk belajar kerana sebelum ini saya tiada telefon, terpaksa pinjam emak punya dan kongsi sama adik-adik juga.

“Saya akan manfaatkannya untuk belajar dan lepas ini saya tidak lagi tak masuk kelas secara dalam talian kerana tiada telefon,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lubuk Merbau, Dr. Jurij Jalaludin yang menyerahkan telefon pintar tersebut berkata, semua 150 unit telefon pintar akan diserahkan kepada pelajar secara berperingkat selama lima hari.

“Kita sudah melihat senarai dan mengenal pasti penerima-penerima ini dan akan aturkan jadual khusus untuk edaran telefon ini kerana prosedur operasi standard (SOP) kita tidak boleh berhimpun.

“Jadi kita akan buat jadual dan kami tetapkan selama lima hari untuk edarkannya kerana bilangan penerima ramai iaitu 150 orang,” katanya.

Sumber: Utusan

COMMENTS