“Lepas dah bercerai, jangan duk salam salam” – Syeikh Faisol

“Lepas dah bercerai, jangan duk salam salam” – Syeikh Faisol

 

“Lepas dah bercerai, jangan duk salam salam” – Syeikh Faisol

Pendakwah bebas, Datuk Syeikh Faisol Omar menegur pasangan suami isteri yang telah bercerai supaya tidak melakukan istimta’ walaupun dalam tempoh idah kerana hukum tersebut adalah haram.

Menerusi video dikongsikan pada TikTok, beliau memberi penjelasan berhubung perceraian dengan talak raji susulan terdapat pertanyaan daripada pengguna media sosial selepas laporan pasangan artis bercerai baru-baru ini.

“Saya mendapat soalan daripada netizen bertanyakan perihal ni sebab dia tengok baru ni ada artis bercerai, selepas bercerai mereka bersalam-salaman iaitu berjabat tangan. Boleh atau tak boleh?

“Ni saya rujuk kepada cerai talak raji iaitu talak yang boleh rujuk balik, bukan talak bain. Dalam mazhab Syafie, suami isteri bila bercerai, maka mereka haram beristimta’ walaupun di dalam idah.

“Istimta’ itu perlakukan sebagai suami isteri, contoh bersentuhan maknanya pegang-pegang tu, berjabat tangan bersentuhanlah. Bersetubuh, tidur sekali, melihat aurat, semua tu adalah haram. Isteri yang sedang beridah, kena menutup aurat sepenuhnya. Suami yang menceraikannya tak boleh tengok walaupun dia sedang beridah,” katanya.

Syeikh Faisol turut menjelaskan sekiranya berlaku persetubuhan antara pasangan suami isteri tersebut dalam tempoh berkenaan.

“Kalau berlaku juga persetubuhan, maka dia berlaku dalam dua keadaan lah. Kalau dia berlaku persetubuhan dalam keadaan dia tidak tahu kata haram, dia kata ‘boleh rujuk balik kot boleh setubuh’, maka suami itu tidak dihukum hudud.

“Hukum hudud itu hukum Islam, hukum rejam sampai mati lah. Dan juga tidak dihukum takzir kerana dia tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya si suami mengetahui haram persetubuhan itu dan dia melakukannya, hukum takzir dikenakan ke atasnya.

“Dia dihukum takzir sebagai tindakan kerana dia buat maksiat tersebut. Itu hukum dalam mazhab Syafie. Duduk sekali pun tak boleh. Bermakna suami isteri yang bercerai dengan talak raji ini, sepanjang tempoh beridah, mereka tidak boleh beradegan sebagai suami isteri.

“Cuma suami itu boleh rujuk balik isteri dalam tempoh idah itu sahaja. Kalau dia ingin mengembalikan istimta’, sila rujuk balik lah,” katanya.

Syeikh Faisol berkata, penjelasan tersebut adalah rujukan di dalam kitab Al Muktamad Fil Fiqh Syafie jilid keempat muka surat 190.

“Jadi saya pesan, bukan kepada artis, sesiapa sahaja kalau lepas dah bercerai tu jangan duk salam-salam, jangan duk dedah aurat, jangan duk sekali bersetubuh semua tak boleh.

“Ada sesetengah hakim syarie di Mahkamah Syariah tu sebelum suami melepaskan cerai, dia kata ‘okay nak salam, sila lah sebelum lafaz cerai. Nak minta maaf sila lah’. Masa tu salam, lepas dah bercerai, tidak boleh lagi,” katanya.

@datosyeikhfaisol_omar

#DatoSyeikhFaisolHjOmar #SyeikhFaisolHjOmar #SyeikhAhmadFaisol #SyeikhFaisol #fyp #2025

♬ original sound – Dato’ Syeikh Faisol Hj Omar – Dato’ Syeikh Faisol Hj Omar