Syed Abu Hussin dedah ada dua kem dalam Bersatu

Syed Abu Hussin dedah ada dua kem dalam Bersatu

 

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa sebahagian besar Ahli Parlimen BERSATU mahu Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk menerajui parti itu.

Beliau berkata, BERSATU kini mempunyai dua kem, iaitu satu yang menyokong kepemimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan satu lagi menyokong Hamzah.

Katanya, Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU pada November lalu memberi ruang kepada parti itu membuat perubahan selepas Muhyiddin mengumumkan untuk tidak mempertahan jawatan, namun tidak berlaku selepas beliau membuat pusingan U.

“Sebahagian besar Ahli Parlimen mahukan Larut (Hamzah) kerana beliau mempunyai potensi sangat besar untuk memimpin parti dengan lebih dinamik dan beliau juga nampaknya bersedia, mampu serta berkebolehan.

“Kami dan sebahagian besar ahli mahu melihat kepemimpinan parti ini diberikan nafas baharu tapi malangnya keputusan pusingan U dibuat presiden, yang disebutnya disebabkan kuasa isteri,” katanya.

Dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU November lalu, Muhyiddin membuat kejutan dengan mengumumkan tidak akan mempertahan jawatan Presiden pada pemilihan BERSATU tahun ini.

Bagaimanapun, keesokannya, beliau membuat pusingan U selepas berbincang dengan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, yang mahu beliau untuk terus mencurahkan khidmat kepada negara.

Ditanya sama ada Ahli Parlimen BERSATU yang kini menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kembali menyokong kepemimpinan parti jika dipimpin Hamzah, Syed Abu Hussin berkata, pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

“Mungkin jika Larut memimpin, beliau ada caranya. Mungkin boleh berunding (untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan). Jadi, kemungkinan itu banyak,” katanya.