Syahir ‘menyorok’ belakang panglima PN, tak berani sahut cabaran debat Rafizi

Syahir ‘menyorok’ belakang panglima PN, tak berani sahut cabaran debat Rafizi

 

PERMINTAAN Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi untuk mengadakan debat mengenai isu ekonomi ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini masih menemui jalan buntu selepas ketiga-ketiga pemimpin pembangkang yang dipelawa tidak menyahut cabarannya.

Yang terbaru menolak pelawaan beliau yang juga Menteri Ekonomi itu ialah Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Rafizi yang berkongsikan di ciapan Twitternya tangkap layar emel bertarikh Isnin daripada Syahir yang menyatakan pendirian Ahli Parlimen Bachok itu untuk menolak undangan debat terbabit.

“Saya dah hantar surat kepada Syahir.

“Daripada mantan menteri ekonomi PN (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) hingga ke panglima PN (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) dan ekonomis teknokrat paling cerdik PN (Syahir), semua tidak berani bentang agenda ekonomi mereka,” tulisnya dalam ciapan pada Isnin.

Menerusi emel tersebut, Syahir berkata, beliau bersependapat dengan Muhammad Sanusi mengenai keperluan penganjuran debat pada waktu ini dan menolak pelawaan terbabit.

Muhammad Sanusi sebelum ini menyatakan bahawa beliau menolak cabaran debat daripada Rafizi kerana langkah tersebut tidak menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

“Pada hemat saya adalah lebih baik kita fokuskan masa dan tenaga yang berbaki ini untuk bekerja dan berkhidmat bagi menyelesaikan segala tugasan dan permaslahan yang menanti.

“Justetru, dalam hal ini, saya sependapat dengan kekanda saya, Datuk Seri Muhammad Sanusi,” tulis Syahir menerusi emel tersebut.

Susulan daripada itu, Rafizi pada ciapan sama turut secara sinis memberikan pantun balas kepada Syahir.

“Nak ke bulan konon nak menang, Perancangan rakyat tak keruan sembang kencang,” ujar Rafizi.