Syafiq Kyle dedah sebab rahsiakan nikah, rancang bawa Mimi Lana ‘honeymoon’ lepas raya

Syafiq Kyle dedah sebab rahsiakan nikah, rancang bawa Mimi Lana ‘honeymoon’ lepas raya
Pelakon Syafiq Kyle, 32, mengakui pilihannya untuk mengahwini isterinya, Mimi Lana, 30, pada 14 Februari lalu tanpa hebahan media bagi menghormati keputusan keluarga.
Syafiq mengadakan majlis akad nikah dan resepsi di Taiping, Perak yang hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat berkata, dia dan Mimi merasakan berkongsi berita baik pada hari pernikahan lebih wajar.
“Kenapa memilih untuk ‘suprise’? Sebab, jalan yang saya buat untuk sampai ke hari nikah, hanya ‘necessary’ sahaja. Apa yang saya buat atas kehendak dan persetujuan keluarga.
“Jadi, saya hormat Mimi dan dia juga hormat saya. Perkara ini juga dibincangkan dengan pengurus.
“Kami ambil pendekatan untuk isytihar pada hari nikah, itu lebih baik,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana episod akhir Gadis Masa di ibu negara, malam tadi.
Syafiq berkata, dia ada perancangan mengadakan majlis resepsi di ibu kota, tapi masih dalam perbincangan memandangkan sedang sibuk.
Mengulas kehidupan sebagai suami, katanya, dia seronok, apatah lagi, dihidangkan nasi apabila pulang ke rumah, setiap hari. Namun, kebahagiaannya juga atas doa orang ramai.
“Alhamdulillah, doa anda sentiasa ada dan membawa kami ke jenjang pelamin. Terima kasih doakan yang baik-baik.
“Tapi, kami sedang sibuk, nak bercuti pun tak sempat. Kami banyak habiskan masa di Taiping dan bila nak bercuti sudah nak puasa. Insya-Allah, kami rancang bercuti selepas Aidilfitri.
“Ini boleh cakap sebagai rumusan hidup saya, orang boleh buat andaian dan jalan cerita sekalipun, tapi Alhamdulillah semuanya baik-baik. Komen, pandangan dan pendapat orang yang saya temui di Taiping semuanya positif,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai perkongsian berkahwin atas sebab mahu menyambut Ramadan bersama, Syafiq mengiyakan keterujaan itu.
“Tahun lalu saya berpuasa seorang dan sambut Aidilfitri di Tanah Suci Makkah dengan mengerjakan umrah. Mungkin inilah berkat doa saya dan emak. Yang baik kita perlu raikan.
“Saya tiada penggambaran pada Ramadan ini. Jadi, saya dan Mimi mahu fokus kepada bisnes yang bakal dilancarkan, tidak lama lagi. Insya-Allah, kami ada juga projek bersama selepas raya,” katanya.
Terdahulu, Mimi dan Syafiq pernah menjalin hubungan cinta selama beberapa tahun, namun impian menjadi suami isteri tergendala apabila membatalkan majlis pernikahan pada 18 Ogos 2023.