Suspek kes tembak di KLIA, Hafizul ditahan di Kelantan

Suspek kes tembak di KLIA, Hafizul ditahan di Kelantan

 

Selepas melarikan lebih daripada 36 jam, akhirnya suspek lelaki, Hafizul Harawi, 38, yang disyaki melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ditahan polis, hari ini.

Mengesahkan penangkapan suspek, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan suspek ditahan sekitar 2.30 petang di Kelantan.

“Suspek baru ditangkap di Kota Bharu, Kelantan pada sebelum 3 petang tadi.

“Saya belum ada maklumat lengkap tetapi suspek ditahan di sebuah rumah sewa di Kelantan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, satu sidang media akan diadakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman atau Ketua Polis Negeri dalam masa terdekat.

Dalam kejadian di Balai Ketibaan KLIA kira-kira 1.30 pagi semalam, seorang pengawal peribadi parah selepas terkena satu daripada dua das tembakan dilepaskan suspek.

Siasatan lanjut polis mendapati suspek sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Polis berkata, siasatan awal menunjukkan motif kejadian akibat masalah peribadi antara pasangan itu yang memiliki sebuah agensi pelancongan serta dikatakan dalam proses bercerai, dengan mangsa dipercayai di peringkat awal kehamilan.

Dalam kejadian itu, suspek pada mulanya melempar mercun sehingga mencederakan dua orang awam, sebelum menghampiri mangsa yang diiringi dua pengawal peribadi dan melepaskan dua tembakan pada jarak 3m hingga 4m.