Suspek kes bunuh Nur Farah Kartini anggota PDRM di Perak

Suspek kes bunuh Nur Farah Kartini anggota PDRM di Perak

 

Polis Perak mengesahkan suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes pembunuhan bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah, 25, adalah seorang anggota polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata suspek berusia 26 tahun itu adalah anggota berpangkat lans koperal di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Semalam, media melaporkan suspek ditahan susulan penemuan mayat mangsa di ladang sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, pada jam 6 petang.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan mati dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Polis menerima laporan berhubung kehilangan Nur Farah Kartini berasal dari Miri, Sarawak yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1.56 pagi, 10 Julai lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussei Omar Khan ketika dihubungi berkata mayat mangsa yang dijumpai di ladang kelapa sawit berhampiran FELDA Gedangsa, Kuala Kubu Bharu semalam, ditemui dalam keadaan sudah mulai mereput.

“Berdasarkan siasatan awal, lokasi mayat mangsa ditemui adalah lokasi utama kejadian pembunuhan.

“Mayat mayat mangsa ditemui dalam keadaan sudah mula mereput. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya, hari ini.