‘Surat tindakan tatatertib yang dihantar kepada Cikgu Fadli bukan bermaksud hukuman telah dijatuhkan’

‘Surat tindakan tatatertib yang dihantar kepada Cikgu Fadli bukan bermaksud hukuman telah dijatuhkan’

 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan bahawa surat tindakan tatatertib yang dihantar kepada cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh bukan membawa maksud hukuman telah dijatuhkan.

Ketua Pengarah Pelajaran Pkharuddin Ghazali berkata pihaknya mengambil maklum mengenai isu berkenaan yang telah tular di media sosial.

“Untuk makluman surat yang dihantar kepada cikgu tersebut bukan lah suatu surat yang membawa maksud bahawa hukuman telah dijatuhkan oleh lembaga tatatertib.

“Sebaliknya surat tersebut memaklumkan cikgu berkenaan mengenai dakwaan yang diterima oleh pihak berkuasa tatatertib serta keperluan cikgu Fadli mengemukakan penjelasan bertulis.

“Lembaga tatatertib telah menerima ‘refresentasi’ (surat tunjuk sebab) daripada cikgu Mohd Fadli pada 14 Okt 2022,” katanya pada satu video yang disiarkan di Facebook rasmi KPM, hari ini.

Semalam, pendedahan cikgu Mohd Fadli yang juga guru sekolah rendah menerima surat daripada KPM dan berdepan tindakan dibuang kerja telah mendapat perhatian menteri sementaranya, Mohd Radzi Jidin.

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan cikgu Mohd Fadli Salleh.

“Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” kata Radzi dalam hantaran ringkas di Facebooknya, malam tadi.

Respon Radzi itu susulan tindakan guru itu yang berkongsi surat daripada KPM kepadanya, susulan beberapa isu yang dibangkitkan melalui media sosial.

Dalam pada itu, Pkharuddin berkata lembaga tatatertib akan bersidang esok bagi membincang isu guru berkenaan.

“Prosiding tatatertib ini dibuat di bawah peraturan-peraturan pegawai awam kelakuan dan tatatertib 1993.

“Ianya diguna pakai untuk semua penjawat awam yang sedang berkhidmat termasuklah diri saya sendiri,” katanya lagi.