Surat layang houseman jadi mangsa gangguan seksual doktor tular

Surat layang houseman jadi mangsa gangguan seksual doktor tular

 

Satu surat layang tular di media sosial mengenai aduan pelatih perubatan di sebuah hospital di Perak berkenaan gangguan seksual yang dilakukan oleh seorang pegawai perubatan.

Dalam surat berkenaan, aduan disampaikan untuk tindakan Pengarah Hospital setelah mendakwa tiada tindakan yang dibuat oleh Jabatan Ortopedik.

“Kami bersepakat untuk melaporkan masalah ini kepada Dato’ kerana masalah ini tidak dapat lagi dibendung oleh Jabatan Ortopedik. Pelaku sering mengugut kami untuk memanjangkan tempoh tagging dan latihan kami walau tidak diberi kuasa mengawasi kami. Taktik berkenaan digunakan bagi kesempatan mengganggu houseman perempuan secara seksual.

“Pelaku sering meminta MO lian yang bertugas untuk berpindah bekerja di tempat lain untuk memudahkan mengganggu kami tanpa perhatian doktor lain. Dia telah meraba, menyentuh tali bra, mencubit badan dan peha kami serta bercakap lucah,” tulisnya.

Palsukan identiti dan butiran pesakit

Dalam surat berkenaan juga menyatakan pelaku telah menipu pesakit dengan memperkenalkan dirinya sebagai Pakar Ortepedik dari bahagian Foot and Ankle.

Mangsa- mangsa turut dikatakan dipaksa untuk memalsukan butiran pesakit supaya tidak diketahui orang lain dan mencuri peralatan dressing untuk kegunaan peribadi pelaku di luar hospital.

Selain itu juga, pelaku didakwa menerima bayaran dari pihak tertentu untuk mengutamakan pesakit yang dirawat secara peribadi.

Pelaku juga dikatakan telah mencari mangsa (pelatih perubatan) yang bermasalah dan berpura-pura membantu, tetapi kemudiannya dibawa ke rumahnya, diberikan minuman (mabuk) serta meniduri mangsa.

Mangsa juga meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Houseman Captain dan jabatan tersebut yang seolah mengabaikan mangsa-mangsa.

Susulan dengan isu tersebut, Jabatan Kesihatan Negeri Perak menerusi satu kenyataan mengesahkan menerima surat layang tersebut melalui pos pada Februari lalu.

“Siasatan kini sedang dilaksanakan dengan pengumpulan bukti-bukti. KKM memandang pertuduhan ini sebagai sangat serius dan mempunyai toleransi sifar terhadap gangguan seksual di tempat kerja,” tulis kenyataan tersebut.