Sungai Segari diberi PPPNP buat ternakan udang sejak 2019 – MB Perak

Sungai Segari diberi PPPNP buat ternakan udang sejak 2019 – MB Perak

Perusahaan kolam udang di kawasan seluas 121 hektar di Sungai Segari di Beruas telah diluluskan dan diberikan hak milik kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), sejak 2019.

Malah Menteri Besar Perak Saarani Mohamad yang juga Pengerusi PPPNP berkata, sebelum tanah itu diberikan sepenuhnya kepada PPPNP untuk tujuan berkenaan, ia telah terlebih dahulu melalui beberapa proses termasuk mendapatkan ulasan dari semua jabatan dan agensi, sehingga mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri ketika itu.

Katanya ini termasuk ulasan serta pandangan dari Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Pertanian, bagi mengenal pasti sama ada kawasan itu sesuai untuk ternakan udang.

“Setelah komen diperolehi dan semua laporan itu positif, tanah itu diluluskan kepada PPPNP. Maknanya kawasan ini sesuai diberi kepada PPPNP untuk ternakan udang.

“Tanah ini kepunyaan PPPNP secara sah. Tanah kita dapat kita kena usaha dan jana pendapatan dan dari pendapatan itu, kita dapat bayar cukai dan premium. Kalau tidak diusahakan buat apa kita ambil,” katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat lokasi berkenaan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan badan bukan kerajaan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) yang mendakwa, kawasan itu tidak mempunyai Kebenaran Merancang (KM) serta tiada Kebenaran Kerja Tanah dari Majlis Perbandaran Manjung (MPM), untuk membuat ternakan udang.

Saarani berkata sehingga kini, PPPNP telah memilih sebanyak sembilan syarikat untuk diberikan sewa selama lima tahun, bagi menjalankan aktiviti berkenaan pada Disember lalu.

“PPPNP dapat duit sewa, itulah pendapatannya. Jadi, inilah yang dibuat penyewa itu dan mereka sedang membersihkan kawasan ini dan terpaksa mencabutkan pokok-pokok ini, sebab itu tanah dia.

“Barangkali belum dapat KM. Ini belum peringkat kita buat perusahaan udang, kita belum pun buat belat dia. Ini baru peringkat ini (membersihkan kawasan). Sama ada sekarang atau nanti, tetap perlu cerahkan (aktiviti pembersihan),” katanya.

Sementara itu, Saarani berkata pihaknya akan menanam semula bakau di rizab sungai yang diceroboh pengusaha ternakan udang secara haram sebelum ini, di sekitar kawasan berkenaan.

“Permintaan orang kampung yang mahukan rizab sungai untuk mereka cari makan. Mereka juga minta supaya ditanam pokok bakau, bagi menunjukkan kawasan sempadan (rizab sungai) dan mereka sedia membantu.

“Apa salahnya, kita akan tanam semula bakau (di kawasan rizab sungai) untuk kebaikan kita dan kita (kerajaan negeri) tawarkan bantuan dan orang kampung bantu kita untuk tanam,” katanya. – MK