“Sungai penuh buaya” – Faktor keselamatan antara sebab kos bina jeti baharu cecah RM50,000

“Sungai penuh buaya” – Faktor keselamatan antara sebab kos bina jeti baharu cecah RM50,000

 

Pada hari semalam, orang ramai mempertikai satu hantaran Facebook mengenai pihak Jabatan Kerja Raya Miri, Sarawak merasmikan sebuah jambatan kayu yang menelan belanja sehingga RM50,000.

Bagaimanapun, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri mengeluarkan satu kenyataan bahawa pelbagai faktor lain turut mendorong kos pembinaan Jeti Kampung Mutap, Bekenu mencecah sehingga lima angka.

Antara faktor lain yang perlu diambil kira semasa pembinaan jambatan itu termasuklah kos logistik selain faktor keselamatan dan keadaan jalan untuk ke kawasan berkenaan.

“Dengan bajet RM50,000, JKR Sarawak berjaya mereka bentuk jeti sepanjang 15 meter dengan dua tangga. Kayu belian yang digunakan pula bernilai RM9,000 semeter, namun lebih rendah daripada kadar harga pasaran,” ulas pihak JKR Miri selepas dakwaan kos pembinaan jeti itu tidak munasabah.

Tambah pihaknya lagi, cadangan awal adalah untuk membina jambatan keluli, namun terpaksa ditolak disebabkan kos yang terlalu tinggi. Sebagai alternatif, Ketua Kampung, Mutap Sediah Abdullah memilih untuk membina jeti sepanjang 30 meter yang diperbuat daripada kayu belian lengkap dengan pondok sebagai ganti.

Bagaimanapun pihak JKR Bahagian Miri memaklumkan bahawa permintaan itu tidak dapat ditunaikan dan beliau perlu memohon peruntukan tambahan daripada wakil rakyat kawasan untuk pembangunan fasa kedua jeti itu.

“Semasa lawatan tapak dibuat pada 21 September 2021, Ketua Kampung juga memaklumkan bahawa sungai itu dipenuhi buaya dan kontraktor yang dilantik hendaklah mengambil langkah berjaga-jaga apabila melaksanakan kerja pembinaan.

“Antara faktor lain yang perlu dititik beratkan termasuklah akses jalan ke Kampung Mutap adalah permukaan jalan ladang yang amat sukar untuk melaluinya,” katanya lagi.

Pada 30 November 2021, Syarikat Bukit Balat telah dianugerahkan projek ini untuk disiapkan. Kontrak itu bermula pada 7 Mac 2022 dan tarikh penyiapannya pula dijadualkan pada 6 Jun 2022.

Bagaimanapun, jeti itu berjaya disiapkan lebih awal daripada tarikh jangkaan. Pemeriksaan tapak terakhir pada 6 April 2022 telah dijalankan bersama oleh JKR Bahagian Miri, ketua kampung Kampung Mutap dan kontraktor Syarikat Bukit Balat.

Hasil penilaian kerja terakhir itu telah memuaskan hati semua pihak terlibat dan jeti sepanjang 15 meter yang diperbuat daripada kayu belian telah diserahkan dengan baik kepada ketua kampung.