Sultan Selangor beli lukisan beruk & katak hadir persidangan Dewan Rakyat

SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan membeli satu karya lukisan sekumpulan beruk dan katak seolah-olah hadir persidangan Dewan Rakyat.
Karya lukisan tersebut dikongsi Sultan Selangor di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Menurut hantaran di Facebook itu, hasil karya seni lukisan tersebut telah menarik perhatian Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Sebaik melihatnya, Baginda berkenan untuk membeli karya lukisan itu dan menggantungnya di ‘private study room’ Baginda.
“Satu hari nanti, Baginda berhasrat untuk melelong lukisan ini dan hasil lelongannya akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan,” tulis hantaran tersebut.
Lukisan itu menunjukkan seorang lelaki berpakaian seakan Speaker duduk pada kedudukan tinggi dengan dua lagi individu di hadapannya.
Di bahagian tempat duduk kiri dan kanan pula kelihatan sekumpulan beruk serta katak dengan pelbagai aksi.
Dipercayai lukisan tersebut mempunyai simbolik dan maksud tersendiri, seolah-olah cuba menyampaikan mengenai suasana di dalam persidangan Dewan Rakyat yang kecoh, selain diwakili wakil rakyat yang lompat parti.
12 April 2022 ~ Sebuah hasil karya seni lukisan telah menarik perhatian DYMM Sultan Selangor.
Sebaik melihatnya, Baginda berkenan untuk membeli karya lukisan itu.
Satu hari nanti, Baginda berhasrat melelong lukisan ini dan hasil lelongan akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan. pic.twitter.com/kdTzc4n1Pt— Selangor Royal Office (@SelangorRoyal) April 12, 2022