Sultan Perak kurnia pengampunan kepada dua banduan
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada dua banduan di negeri ini bersempena dengan sambutan hari ulang tahun Keputeraan Baginda pada esok.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata Baginda menitahkan agar dua banduan yang masing-masing sepatutnya dibebaskan pada 18 Mei 2022 dan 24 Jun 2023, dikurniakan pembebasan awal berkuatkuasa 6 November.
“Setelah menimbangkan laporan dari Jabatan Penjara Malaysia dan pendapat Peguam Negara, serta pandangan dan ulasan yang dipersembahkan oleh ahli-ahli Lembaga Pengampunan, Sultan Perak berpuas hati bahawa hukuman yang dilalui oleh dua orang banduan telah memberi pengajaran berguna kepada banduan-banduan tersebut untuk berubah dan seterusnya berkelakuan baik,” katanya.
Ujar Ahmad Suaidi, bersempena dengan Hari Keputeraan Sultan Perak Ke-64, Baginda telah mempengerusikan Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri Perak pada 3 November baru-baru ini.
Katanya dalam persidangan tersebut, daripada 12 rayuan yang dipersembahkan untuk pertimbangan Sultan Perak, dua rayuan telah diperkenankan Baginda untuk dikurniakan pembebasan awal.
“Baginda juga menitahkan nasihat, bahawa sesuatu hukuman yang dijatuhkan adalah bertujuan untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat agar undang-undang negara didaulatkan.
“Pengampunan atau meringankan sesuatu hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah akan hanya dipertimbangkan apabila banduan menunjukkan sifat insaf, sedar dan menyesal akan kesalahan yang telah dilakukan dan memohon maaf, berkelakuan baik semasa berada dalam tahanan serta menunjukkan azam untuk memulakan penghidupan baru,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bersempena dengan sambutan hari ulang tahun Keputeraan Sultan Perak di Laman Seri Ridzuan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata bersempena dengan sambutan sama, Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat akan diadakan di Majlis Sultan Idris Shah II atau Masjid Negeri Perak pada esok.
Katanya Sultan Nazrin dan kerabat diraja dijadualkan berangkat pada majlis itu selain diiringi tetamu kehormat lain dan rakyat jelata.
“Majlis yang sama akan turut diadakan di semua masjid daerah di seluruh negeri, dengan diketuai Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing,” jelas beliau.
Sumber: Perak Today