Sultan Nazrin perkenan solat Jumaat, fardu hingga 250 jemaah

Sultan Nazrin perkenan solat Jumaat, fardu hingga 250 jemaah

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membenarkan jumlah jemaah yang solat Jumaat ditingkatkan sehingga 250 jemaah bagi masjid-masjid utama di seluruh negeri.

Bagi masjid-masid dan surau-surau solat Jumaat yang dibenarkan, jumlah jemaah kini dibenarkan sehingga 120 orang.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini berkata, Sultan Nazrin menitahkan kebenaran itu selepas menimbang sembah cadangan yang dikemukakan MAIPk berlandaskan nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak serta pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan (MKN) Negeri Perak.

Katanya, Sultan Nazrin turut menzahirkan titah perkenan untuk membolehkan solat Jumaat didirikan di semua masjid dan surau, termasuk surau dalam kem tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, maktab, sekolah, syarikat dan kilang agar lebih ramai jemaah berpeluang menunaikan solat Jumaat.

“Masjid Negeri (Masjid Sultan Idris Shah), Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh serta Masjid Ubudiah Kuala Kangsar dan masjid utama di daerah-daerah, dibenarkan menerima had maksimum 250 orang jemaah.

“Masjid dan surau yang terletak dalam kawasan kem tentera dan polis, dibenarkan menerima maksimum 250 orang jemaah, seboleh-bolehnya diutamakan dan dibatasi kepada para anggota yang tinggal dalam kawasan kem berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Annuar berkata, bagi masjid dan surau yang diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat, maksimum jemaah ditambah kepada 120 orang jemaah dalam sesebuah masjid atau surau bagi solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah tidak termasuk ahli jawatankuasa dan pegawai masjid atau surau.

Katanya, bagi masjid dan surau yang terletak dalam kampus universiti, maktab, kolej dan politeknik, dibenarkan menerima maksimum 250 orang jemaah, seboleh-bolehnya diutamakan dan dibatasi kepada warga kampus.

Bagaimanapun, katanya, aktiviti sosial dan keagamaan diadakan di masjid dan surau dalam kawasan yang diisytiharkan berada dalam kategori Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masih tidak dibenarkan.

“Aktiviti agama berunsur ilmu dibenarkan diadakan di masjid dan surau dalam ruang waktu antara selesai solat Maghrib sementara menantikan masuknya waktu solat Isyak.

“Kuliah ilmu tidak melebihi 20 minit, dibenarkan untuk dianjurkan kepada jemaah yang berada dalam surau dan masjid sementara menanti azan solat Jumaat,” katanya.

Bagaimanapun, sebarang acara jamuan dalam masjid dan surau termasuk di pekarangan masjid dan surau masih tidak dibenarkan.

Selain itu katanya, aliran jemaah masuk dan keluar masjid dan surau juga perlu diperketatkan dan memastikan jarak fizikal diamalkan dan untuk mengelak kesesakan yang sering berlaku khususnya ketika jemaah mencari kasut selepas selesai menunaikan solat.

“Jemaah dinasihatkan membawa beg menyimpan kasut yang membolehkan jemaah membawa kasut ke dalam masjid dan hanya jemaah lelaki berusia 16 hingga 71 tahun dibenarkan menunaikan solat Jumaat.

“Perkenan baginda untuk menambah atau mengurangkan bilangan jemaah tertakluk kepada status semasa penularan wabak Covid-19 di negeri Perak,” katanya.  – UO