Sultan Nazrin berangkat hadir majlis sambutan Nuzul Quran Negeri Perak

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat ke majlis berbuka puasa sempena sambutan Hari Nuzul Quran peringkat negeri di Masjid Negeri, Masjid Sultan Idris Shah II, di sini, malam tadi.
Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan bantuan Aidilfitri daripada dana zakat zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM7.82 juta kepada penghulu membabitkan semua 12 daerah di Perak untuk diserahkan kepada 31,296 penerima yang layak.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Yusop Husin serta barisan exco kerajaan negeri.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, disusuli bacaan tahlil, doa, solat Maghrib berjemaah, dan jamuan berbuka puasa bersama kira-kira 300 hadirin jemputan.
Selesai majlis berbuka puasa dan penyerahan bantuan, Sultan Nazrin berangkat pulang, sebelum majlis diteruskan dengan solat Isyak dan solat tarawih. – BH