Suami Sandra Dewi ditangkap kes rasuah, netizen ungkit nikah di Disneyland dan beri jet peribadi pada anak

Suami Sandra Dewi ditangkap kes rasuah, netizen ungkit nikah di Disneyland dan beri jet peribadi pada anak

 

Suami kepada pelakon Sandra Dewi, Harvey Moeis ditahan atas dakwaan menerima rasuah dengan nilai mencecah trilion rupiah dalam urusan perniagaan terkait perlombongan biji timah yang merugikan negara.

Harvey yang juga merupakan usahawan arang batu itu didapati menjadi orang tengah kepada projek perlombongan biji timah secara haram dan mendapatkan rasuah selepas kesepakatan serta ia berjaya diluluskan kerajaan.

Lebih parah, Sandra juga dikatakan akan dipanggil untuk soal siasat berkaitan isu rasuah suaminya juga.

Sebaik ditahan, netizen Indonesia mula membongkar tentang kehidupan mewah pasangan yang berkahwin pada tahun 2016 lalu.

Meski Sandra dan Harvey selalu dijadikan idola sebagai orang kaya yang tidak suka mempamerkan kemewahan namun menerusi perkongsian mereka sesekali di media sosial, pasangan tersebut memang berada dalam liga kaya tersendiri.

Ini termasuklah kemewahan rumah pasangan ini yang disifatkan seperti hotel lima bintang. Menerusi salah satu tayangan YouTube, kediaman Sandra antaranya mempunyai lobi menunggu, lif, bilik permainan untuk dua anaknya dan kemudahan lain.

Selain rumah yang cukup mewah, Harvey pernah menunjukkan kekayaan luar biasa yang dimilikinya apabila memberi hadiah jet peribadi sempena menyambut ulang tahun pertama kelahiran anak mereka, Raphael Moeis pada 2019 lalu.

Malah, netizen juga kembali membongkar kemewahan majlis perkahwinan Sandra dan Harvey yang pernah diraikan di Disneyland, Jepun.

Pasangan tersebut membawa keluarga dan rakan terdekat meraikan perkahwinan mereka yang dipercayai menelan perbelanjaan cukup mewah.