Suami pengsan lepas isteri suntik vaksin Covid-19
Gara-gara terlalu fobia dengan jarum, seorang lelaki di Samarinda, Indonesia telah pengsan selepas disuntik vaksin oleh jururawat yang juga isterinya sendiri.
Sihat sebelum ambil vaksin
Menerusi laporan Suarakaltim, insiden tersebut berlaku pada hari Isnin yang lalu ketika Datuk Bandar Samarinda, Andi Harun bersama kakitangan pejabat dan beberapa pemberita hadir bagi menerima suntikan vaksin untuk menjayakan Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan.
Pada waktu tersebut, lelaki yang dikenali sebagai Rida dilaporkan masih berada dalam keadaan sihat sebelum diberi suntikan vaksin.
Rida yang bertugas sebagai pegawai negeri dilaporkan sudah bersiap sedia untuk menerima vaksin bahkan, sempat bersarapan sebelum hadir ke pusat vaksinasi.
Pengsan beberapa minit
Namun setibanya giliran Rida untuk menerima vaksin, dia terkejut isterinya merupakan petugas yang akan menyuntik baksin kepadanya. Setelah selesai menerima vaksin, dia dipercayai pengsan.
Oleh kerana panik mengenai situasi tersebut, petugas kesihatan telah segera memberikan bantuan. Rida juga dilaporkan kembali sedar selepas beberapa minit pengsan.
Menurut laporan tersebut juga, Rida telah menjalani pemeriksaan kesihatan sama seperti penerima vaksin yang lain sebelum menerima suntikan tersebut.
Sumber: OB, Suarakaltim